Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini bersama-sama dengan 29 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor telah menyatakan bahawa mereka tidak lagi mempunyai kepercayaan kepada Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Khalid Ibrahim dalam jawapannya menyatakan bahawa dia akan terus berkhidmat sebagai MB Selangor sehingga satu undi tidak percaya dilakukan ke atasnya di dalam dewan Undangan Negeri.
Perkara 51 dan 53(2)(a), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan bahawa Sultan hendaklah melantik seorang Menteri Besar dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri yang pada pendapatnya mendapat sokongan majoriti ADUN dan merupakan seorang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Berdasarkan perkara 53(6), Seorang Menteri Besar hendaklah kekal memegang jawatannya melainkan majoriti ADUN telah hilang kepercayaan kepadanya. Walaubagaimanapun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor tidak memperuntukan secara spesifik bagaimana kepercayaan ADUN terhadap MB di tentukan.
Adakah melalui satu usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri atau cukup sekadar ADUN-ADUN yang telah hilang kepercayaan memaklumkan kepada Sultan bahawa mereka tidak lagi mempunyai mempunyai kepercayaan kepada MB?
Antara persoalan yang ditimbulkan di dalam kes Dato’ Seri IR Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin v Dato’ Seri Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, cara untuk menentukan keyakinan ADUN kepada MB hanyalah melalui satu usul undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri. Dan sekiranya satu undi tidak percaya telah diperolehi terhadap MB di dalam Dewan Undangan Negeri, MB mempunyai dua pilihan, iaitu menghadap Sultan dan memdapatkan perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi diadakan satu pilihanraya negeri atau meletakkan jawatannya. Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa tidak ada satu pun peruntukan di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang mengkehendaki satu undi tidak percaya dijalankan di dalam Dewan Undangan Negeri bagi menentukan keyakinan ADUN terhadap MB. Bukti bahawa ADUN telah kehilangan keyakinan kepada MB boleh ditentukan di dalam pelbagai cara termasuk pengakuan dari MB atau ADUN walaupun di luar Dewan Undangan Negeri adalah memadai.
Cukuplah saya katakan penghakiman Mahkamah Persekutuan di dalam kes Dato’ Seri IR Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin v Dato’ Seri Dr. Zambry Bin Abdul Kadir mengikat (binding). Sultan Selangor selepas menerima menghadap kesemua 30 orang ADUN boleh memanggil MB dan memaklumkan bahawa beliau sudah kehilangan sokongan majoriti oleh ADUN dan hendaklah meletakkan jawatan.
Afiq M Noor
14.8.2014
Lawyers For Liberty
www.lawyersforliberty.org
Twitter: @lawyers4liberty