http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12386

Fadiah Nadwa Fikri | Oct 24, 2011 11:16:57 pm

Minggu lepas kita digemparkan dengan satu berita penggantungan seorang ilmuwan Undang-Undang Perlembagaan, Prof Dr.Abdul Aziz Bari oleh Universiti Antarabangsa Islam Malaysia.  Penggantungan tersebut adalah berikutan kenyataan beliau berkenaan batasan kuasa Sultan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia.

Secara peribadi, penggantungan Prof Dr.Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bukanlah sesuatu di luar norma kerana Malaysia adalah terkenal sebagai sebuah negara yang mengekang hebat kebebasan berfikir dan bersuara. Kekangan terhadap kebebasan berfikir dan bersuara terzahir dalam undang-undang lapuk yang diwarisi dari zaman penjajah dalam usaha mengekalkan kekuasaan dan kepentingan golongan pemerintah.

Persoalan yang sering bermain di fikiran saya adalah sejauh manakah kita akan tersasar dari perjuangan mempertahankan maruah dan budaya ilmu sekiranya gedung-gedung ilmu yang diamanahkan mempertahankan maruah dan budaya ilmu itu sendiri terjebak dalam permainan kotor golongan pemerintah sehingga sanggup menggadaikan kebebasan akademik?

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia gah sebagai sebuah institusi pendidikan yang dikenali sebagai “Garden of Knowledge and Virtue” (Taman Imu dan Nilai Murni). Sebagai seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas pelajar Prof Dr Abdul Aziz Bari, saya tidak dapat melarikan diri dari mempersoalkan samada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia benar-benar serius dalam memartabatkan dan mempertahankan maruah dan budaya ilmu?

Adakah Taman Ilmu dan Nilai Murni ini sekadar laungan kosong yang lambat laun akan mendedahkan kepura-puraan yang hanya akan menjauhkan kita daripada kebenaran yang hakiki?

Ilmu itu diraikan kemuliaannya melaui proses pendidikan yang dibekalkan di gedung-gedung yang dihuni manusia yang mampu mengungkap hati nurani dalam mencari makna dan tujuan kejadiaan manusia di bumi yang penuh dengan penderitaan, penindasan dan ketidakadilan sistem yang sedia ada.

Para ilmuwan di gedung-gedung ilmu bertanggungjawab dalam melahirkan manusia yang peduli kepada tanggungjawab sosial dan ini hanya boleh dicapai melalui proses pendidikan yang bersifat bebas dari kekangan dan ancaman golongan pemerintah.  Maruah dan budaya ilmu itu akan tergadai sekiranya proses pendidikan itu dikekang oleh tangan-tangan yang mengendalikan gedung-gedung ilmu yang jelas bersekongkol dengan golongan pemerintah yang hanya berminat dalam menggunakan proses pendidikan bagi melahirkan manusia yang patuh kepada sistem yang sedia ada, dan bukan manusia yang patuh kepada kebenaran dan berani mencabar sistem tersebut.

Kes penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia jelas mengancam dan mencabul kebebasan akademik dan ia adalah satu tindakan yang menghina maruah dan budaya ilmu yang menjadi teras sebuah insititusi pendidikan.  Penggantungan Prof Dr.Abdul Aziz Bari menghantar mesej yang jelas kepada para ilmuwan yang lain bahawa jika mereka berani mempersoalkan sistem yang sedia ada semasa menjalankan tanggungjawab mereka dalam mendidik, mereka akan dihukum.

Penggantungan ini secara terang bercanggah dengan falsafah penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang menyatakan bahawa penyampaian ilmu itu adalah sebuah amanah yang perlu dilaksanakan dalam proses mencari kebenaran.

Jika maruah dan budaya ilmu terus-terusan dikecam, kita akan akan kehilangan para ilmuwan yang berani bangkit untuk mempertahankan maruah dan budaya ilmu dalam usaha memartabatkan nilai- nilai kemanusiaan, kebebasan dan keadilan. Jika maruah dan budaya ilmu terus-terusan dihinjak, kita akan kehilangan para graduan yang peduli dengan penderitaan umat manusia yang ditindas sistem yang tidak adil, sistem yang hanya memperkayakan golongan pemerintah yang hanya berminat untuk mempertahankan kepentingan dan kekuasaanya.  Jika maruah dan budaya ilmu terus-terusan diperdagangkan kita akan kehilangan nilai-nilai kemanusiaan dan sebagai ganti kita akan melahirkan generasi manusia yang terlalu mengangungkan sifat kebendaan untuk menjaga kepentingan diri sendiri, dan bukannya kepentingan masyarakat keseluruhannya.

Bersediakah kita menggadaikan kebebasan akademik dengan kepura-puraan para ilmuwan yang hanya mengajar berdasarkan silibus yang ditetapkan dan bukannya mendidik berdasarkan nilai-nilai kebenaran?  Bersediakah kita menggadaikan kebebasan akademik dengan kepura-puraan insititusi-institusi pendidikan yang hanya akan melahirkan generasi manusia yang patuh kepada kefasikan dan bukan kepada kebenaran?

*Fadiah Nadwa Binti Fikri ialah peguam dari Lawyers For Liberty, bekas pelajar kepada Profesor Abdul Aziz Bari.

**Berita terkini melaporkan bahawa penggantungan tugas Profesor Abdul Aziz Bari telah ditarik balik.  Abdul Aziz diminta untuk melapor diri kepada dekan fakulti undang-undang pada 25 Oktober 2011.  Pada 21 Oktober, kira-kira 700 siswa-siswi berkumpul dan mendesak agar UIAM mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini, dan mereka tidak menolak kemungkinan untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri yang dijadualkan melawat ke UIAM pada 25 Oktober- seandainya isu ini tidak diselesaikan dengan baik. 【Baca: “Lawan ilmu dengan ilmu!” 700 siswa bangkit pertahankan Aziz Bari