Gambaran yang salah oleh media berita terhadap transgender

Dalam perkembangan terbaharu saga Nur Sajat, usahawan kosmetik yang terkenal tersebut menyuarakan kerunsingan beliau terhadap keasyikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan orang awam terhadap identiti jantinanya. ‘Issues jantina ini…ibarat issues masalah besar dalam negara..ujarnya di dalam kemaskini status halaman Facebook beliau. Tetapi patut ker issues nur sajat jadi PEBUALAN MASALAH NEGARA!!! Fikir kan lah!!!’ sambungnya lagi.

Walaupun dimalukan secara terbuka, perhatian terhadap cerita Nur Sajat ini membuka peluang untuk dialog yang telah lama terpendam. Golongan transgender di Malaysia seringkali diperlekehkan dengan gambaran yang salah oleh media berita. Kebanyakan laporan yang dikeluarkan oleh media, terutamanya media Bahasa Melayu (berbanding media Bahasa Inggeris), menggunakan kata nama yang salah ataupun istilah yang menghina apabila merujuk kepada golongan transgender. Tambahan pula, laporan-laporan yang dikeluarkan selalunya memberi fokus kepada identiti jantina subjek yang selalunya tiada kena-mengena dengan peristiwa yang sepatutnya dilaporkan

 

Istilah digunakan di dalam laporan

Adalah menjadi kebiasaan untuk laporan-laporan berita menggunakan istilah yang salah atau menghina apabila melaporkan berita berkenaan golongan transgender. Istilah-istilah seperti ‘pondan’, ‘lelaki berpakaian wanita’ dan ‘transvestite’ sering digunakan berbanding istilah-istilah yang lebih diterima seperti ‘Mak Nyah’, ataupun hanya dengan merujuk kepada mereka menggunakan kata nama jantina yang telah mereka pilih. Penyalahgunaan ini mengukuhkan lagi persepsi bahawa identiti golongan transgender merupakan sesuatu yang boleh dirawat atau diubah, dan bahawa seseorang itu boleh diyakinkan untuk berhenti menjadi transgender.

Dalam analisa media yang dibuat oleh Justice for Sisters (NGO tempatan yang menyokong hak-hak Mak Nyah), selepas tragedi pembunuhan seorang wanita transgender yang tidak dinamakan pada Mac 2016, daripada 25 laporan berita yang dikeluarkan, hanya satu laporan dari Malaysiakini yang merujuk kepada mangsa sebagai transwanita; laporan yang lain kesemuanya gagal untuk menggunakan kata nama yang betul.

Isu ini kemudiannya disensasikan dengan tajuk-tajuk seperti ‘Pondan mati ditolak dari kondo’, Kosmo dan ‘Mayat ‘pondan’ dalam bungkusan dicampak dari tingkat tiga kondominium’, Astroawani – yang memberikan fokus yang berlebihan terhadap pakaian, penampilan serta identiti mangsa.

Malahan, Kosmo telah menerbitkan satu gambar mangsa, yang tidak pernah disahkan,  yang kononnya merupakan gambar beliau sebelum transisi, manakala The Malaysian Digest telah menggunakan gambar seorang transwanita dengan dadanya dikaburi pixel.

Menurut Justice for Sisters, walaupun terdapat sedikit penambahbaikan sewaktu laporan pembunuhan Sameera Krishnan setahun kemudian, terdapat sekurang-kurangnya enam laporan berita telah melaporkan berkenaan jantina asal mangsa sewaktu kelahirannya dan transisi beliau sejurus itu.

Perlu diingatkan juga, laporan-laporan berita oleh Bernama dalam kedua-kedua kejadian tersebut merujuk kepada kedua-dua mangsa sebagai seorang ‘lelaki berpakaian seperti wanita’ dan ‘transgender berpakaian seperti wanita’. Oleh kerana banyak pihak media menggunakan Bernama sebagai sumber laporan mereka, ini menunjukkan bahawa agensi berita nasional tersebut memainkan peranan penting dalam menentukan istilah untuk laporan lanjutan.

 

Liputan negatif yang tidak seimbang

Liputan isu transgender banyak dipengaruhi sudut pandangan konservatif yang diketengahkan oleh pihak media, sama ada melalui laporan mereka ataupun artikel-artikel pendapat. Golongan transgender, yang dikelompokkan sekali dengan golongan-golongan terpinggir LGBTQ yang lain, sering dipersalahkan untuk pelbagai masalah masyarakat seperti penyebaran HIV/AIDS dan digambarkan sebagai musuh nilai-nilai tradisional dan Islam.

Liputan positif yang diberikan kepada komuniti transgender terlampau sedikit, hanya dengan beberapa penerbitan komen atau penyataan oleh para aktivis atau organisasi transgender di dalam portal berita Bahasa Inggeris. Sebaliknya, laporan-laporan berita Bahasa Melayu lebih fokus kepada menggalakkan kebencian terhadap komuniti transgender, dan pada masa yang sama juga mengetengahkan kejayaan ‘rehabilitasi’ golongan transgender melalui agama.

Contoh terbaik yang boleh dilihat adalah liputan media yang diberikan pada April 2016 kepada Sofea Ilias, seorang wanita transgender dan usahawan yang telah transisi semula menjadi ‘lelaki’ dan mengumumkan keinginannya untuk bertindak sebagai figura ‘rehabilitasi’ wanita-wanita transgender yang lain. Tindakan ini telah menarik perhatian Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengetuai Hal-Ehwal Islam, dan juga media arus perdana. Cerita ‘kejayaan’ Sofea telah digunakan untuk memberi tekanan terhadap wanita transgender yang lain untuk ‘berubah’, termasuklah rakan usahawan Nur Sajat.

Walaubagaimanapun, Sofea telah menarikbalik keputusan beliau pada September tahun yang sama, namun keputusan ini tidak menerima liputan yang meluas di media. Pada masa kini pula, blogger yang terkenal dengan buruk lakunya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo, telah berulang kali mendakwa Nur Sajat sebagai seorang transwanita yang telah mengakibatkan Jakim mengambil langkah untuk menentukan jantinanya.

Sebaliknya, kisah kejayaan dan pencapaian golongan transgender jarang mendapat perhatian daripada pihak media.

 

Akibat penyalah-gambaran golongan transgender

Faktor kurangnya laporan yang baik serta penekanan nilai konservatif oleh pihak media telah banyak menyumbang kepada persekitaran yang berbahaya terhadap komuniti transgender di Malaysia. Akibat yang paling ketara adalah komuniti transgender akan kurang menonjolkan diri, dan ini memberi akibat yang buruk terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka. Kekeliruan yang didorong oleh laporan yang tidak telus tentang kejayaan ‘rehabilitasi’ hanya akan memberi kesan buruk kepada gender dysphoria, seperti di dalam kes Sofea Ilias.

Yang lebih pentingnya, implikasi bahawa identiti transgender adalah tidak natural dan melanggar nilai konservatif (dan juga Islamik) membolehkan pembulian dan jenayah kebencian terhadap golongan transgender. Persekitaran toksik yang digalakkan oleh media Bahasa Melayu dan stigma serta gangguan yang diterima oleh golongan transgender daripada pihak berkuasa pastinya akan mengakibatkan jenayah-jenyah terhadap mereka tidak dilaporkan, maka memberi peluang kepada pesalah laku untuk meneruskan tindakan mereka tanpa apa-apa hukuman.

Penyunting berita dan wartawan harus lebih bertimbang rasa dalam melaporkan isu transgender dan perlu juga memberi liputan yang lebih banyak berkenaan kejayaan komuniti transgender. Ini akan menguatkan posisi komuniti mereka. Sehingga perkara ini dilaksanakan, komuniti transgender akan terus diserang dan disalah-gambarkan.

Sesungguhnya, komuniti transgender hanya ingin hidup seperti orang lain, dan diberi hak yang sama sepertimana yang kita nikmati; menjalani hidup mereka, bekerja, mempunyai kehidupan peribadi dan melakukan aktiviti harian tanpa perlu bimbang tentang diskriminasi dan gangguan.

Komuniti transgender adalah antara komuniti di Malaysia yang paling terdedah kepada gangguan – fahami dan berilah mereka sokongan daripada hanya mengherdik dan merendah-rendahkan mereka. Perkataan-perkataan yang kita gunakan amat penting buat komuniti ini. Janganlah lagi kita menggunakan istilah-istilah yang menghina dan juga mensensasikan laporan-laporan berkenaan transgender; gunakan perkataan-perkataan yang memberi anjakan paradigma yang positif terhadap persepsi rakyat Malaysia kepada komuniti transgender – bukan sebagai ‘pondan’ atau ‘lelaki berpakaian seperti wanita’ yang perlukan ‘rehabilitasi’ – tetapi sebagai manusia yang juga layak dilayan secara hormat dan bermaruah seperti insan lain juga.

 

Oleh Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif, Lawyers for Liberty.