SHAH ALAM 19 November: Sebarang bentuk penyelewengan dan penipuan tidak perlu dirahsia serta wajar didedah dan tindakan dikenakan ke atas yang didakwa hendaklah tidak bersifat selektif, kata Sivarasa Rasiah.

Demikian hujah peguam kepada Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli itu pada pendengaran permohonan anak guamnya untuk membatalkan tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia) di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, petang tadi.

“Mengikut prinsip undang-undang England, apabila seseorang melakukan penipuan, apatah lagi dengan dana awam, individu itu kehilangan haknya untuk kerahsiaan,” katanya merujuk tiada tindakan dikenakan terhadap Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Mohamad Salleh sebelum ini didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Beliau merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Pada 30 Disember lalu, pihak berkuasa mendakwa pemberi maklumat dalam kes NFC, Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.

Shamsubahrin turut pernah direman dan diarah melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mendedahkan skandal yang melibatkan Umno BN.

Keadilan Daily sebelum ini melaporkan, tuduhan ke atas Shamsubahrin adalah taktik Umno bagi menjadikan ahli perniagaan itu ‘kambing hitam’ dalam skandal tersebut, sekaligus melindungi suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.

Tegas Sivarasa, pemberi maklumat yang mendedahkan penyelewengan tidak wajar dihukum.

“Ia juga menunjukkan moral yang baik kepada rakyat untuk berani tampil mendedahkan kebenaran,” hujah Ahli Parlimen Subang itu.

Permohonan menggugurkan tuduhan tersebut dibuat kerana bukti-bukti pertuduhan terhadap Rafizi berniat jahat dan terpilih bertujuan menutup pendedahan butiran perbankan skandal NFC.

Ia difailkan peguam N Surendran di Mahkamah Tinggi Shah Alam, September lalu.

Peguam turut mewakili Rafizi adalah Latheefa Koya dan Eric Paulsen.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) ketika membalas hujah kembali mempertahankan Mohamad Salleh dan bertegas jika dedah maklumat bank, individu itu dikira bersalah.

Mengulas perkara itu, Rafizi mempersoal mengapa beliau sahaja yang didakwa di bawah Bafia, sedangkan ia patut digunapakai kepada semua bentuk kesalahan.

“DPP nampaknya terlepas pandang hujah Sivarasa bahawa ada ratusan aduan pelanggaran Bafia, tetapi kenapa hanya saya yang didakwa? Selektif!” tempelaknya.

“Asas permohonan ini adalah kerana ada banyak lagi kes yang melibatkan pendedahan dokumen, tapi kenapa saya seorang saja (didakwa), hanya kerana dedahkan kes NFC, ini pendakwaan terpilih,” tegas Rafizi lagi.

Menurutnya, beberapa kumpulan orang awam telah memfailkan kes terhadap Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia kerana bersikap tidak adil.

“Ada banyak kes kebocoran maklumat, dan penipuan dokumen melibatkan institusi bank, laporan dibuat namun tiada tindakan di bawah Bafia, oleh itu orang ramai pun dakwa Bank Negara,” jelasnya.

Rafizi pada 1 Ogos lalu ditahan di bawah akta Bafia dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan NFC dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu.

NFC dikendalikan suami dan anak kepada Shahrizat.

Jika disabit kesalahan, Rafizi boleh didenda RM3 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan yang sama turut dikenakan terhadap pemberi maklumat skandal NFC kepada Rafizi, Johari Muhamad yang merupakan bekas kerani Public Bank.

Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan keputusan permohonan itu Jumaat ini.

Oleh Aisha Geoffrey, Keadilan Daily