Kenyataan Akhbar

Sebagai seorang tahanan politik, Anwar berhak menerima layanan yang lebih baik

10 Ogos 2015

Hari ini adalah merupakan hari lahir ulangtahun Anwar Ibrahim yang ke 68 dan juga hari ke 182 beliau sebagai tahanan politik di Penjara Sungai Buloh. Pada 10 Febuari 2015, Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan lima tahun hukuman penjara ke atas dakwaan yang cukup tidak munasabah iaitu sodomi, selepas satu perbicaraan dan proses rayuan yang dikecam oleh sejagat antarabangsa.

 

Semenjak Anwar dipecat daripada jawatannya iaitu Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998, kerajaan tidak pernah berhenti menggunakan institusi awam untuk menganiayai beliau daripada memegang jawatan politik dan melaksanakan tugasan beliau sebagai Ahli Parlimen yang dipilih rakyat dan juga Ketua Pembangkang Malaysia. Anwar telah dipukul hampir separuh mati oleh bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor dalam keadaan bergari dan matanya ditutup, dan selepas siri perbicaraan yang diragukan, beliau akhirnya menjalani hukuman selama enam tahun di dalam penjara sebelum ini.

 

Secara jelasnya, Anwar adalah merupakan seorang tahanan politik dan beliau layak untuk mendapat layanan yang sewajarnya jika dibandingkan dengan apa yang diterima sekarang. Adalah sesuatu yang memeranjatkan dan amat dikesali, bagaimana pihak-pihak berkuasa kelihatannya bertekad untuk sebolehnya menyusahkan perjalanan hidup Anwar dan ahli keluarga beliau dengan mengenakan peraturan-peraturan penjara yang paling ketat dan keterlaluan. Walhal sebenarnya terdapat banyak ruang budi bicara untuk memudahkan urusan dengan lebih berperikemanusiaan dan pendekatan yang lebih bertamadun.

 

Sebagai contoh, ahli keluarga beliau tidak dibenarkan untuk bersentuhan secara fizikal dengan beliau semasa lawatan Hari Raya baru-baru ini dan mereka juga tidak dibenarkan untuk membawa makanan dari luar kepada beliau. Terdapat juga larangan terhadap bilangan para ahli keluarga yang boleh melawat beliau – abang, kakak dan ibu tiri beliau yang berkerusi roda – telah tidak dibenarkan melawat selepas lama menunggu.

 

Adakah layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan sebegitu diperlukan? Apakah kemudaratan yang dibimbangkan jika Anwar dibenarkan untuk berjumpa dan bersentuhan dengan ahli keluarga beliau dan menjamah sedikit juadah hari raya?

 

Anwar juga diasingkan daripada banduan-banduan yang lain dan boleh dikatakan berada dalam kurungan berasingan. Beliau sentiasa bermasalah dalam mengakses rawatan perubatan yang sewajarnya serta bertepatan dengan masa kerana pihak-pihak berwajib sentiasa melengahkan atau tidak mengendahkan aduan-aduan beliau. Oleh yang demikian, ini telah melemahkan keadaan beliau kerana kecederaan serius yang dialami di bahu kanan yang mana telah didiagnosis dengan chronic rotator cuff injury di bahu kanan.

 

Hanya beberapa kali sebelum ini Anwar telah dibawa ke hospital selepas penangguhan yang lama, beliau menjalani ujian perubatan dan rawatan dengan tergesa-gesa, dan setelah itu segera dikembalikan ke penjara. Beliau sekarang bergantung kepada ubat penahan sakit dan tidak mendapat sebarang akses untuk rawatan fisioterapi sebagaimana yang diperlukan. Ini kerana tidak ada sebarang kemudahan sedemikian di dalam penjara dan beliau juga tidak dibawa ke hospital untuk menerima rawatan secara berkala.

 

Oleh itu, kami menyeru pihak berkuasa supaya membebaskan Anwar untuk menjalani tahanan dalam rumah agar beliau dapat menghabiskan baki hukuman beliau dalam kemudahan pemulihan yang bersekuriti minimum sepertimana tahanan politik lain seperti Aung Sang Suu Kyi dan Nelson Mandela (dalam 18 bulan terakhir masa penahanannya).

 

Dikeluarkan oleh:

Eric Paulsen

Pengarah Eksekutif

Lawyers for Liberty

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat: 03-7960 5688
Mobil: 017-228 1973
E-mel: [email protected]
www.lawyersforliberty.org