KUALA LUMPUR  7 September: Keluarga mendiang D Dinesh, mangsa tembakan rambang polis di Ampang bulan lalu menolak sebarang cadangan inkues oleh pasukan itu, yang disifatkan peguam, N Surendran sebagai percubaan supaya kes ini ditutup.

“Polis kata nak inkues. Prosedur pun sudah salah. Inkues hanya dibuat apabila tiada kepastian. Dalam kes ini, jelas berlaku pembunuhan dan dakwaan boleh dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ini percubaan untuk menutup kes. Keluarga tolak permohonan inkues atau sebarang prosiding inkues. Kita mahu penjenayah terbabit didakwa di mahkamah terbuka,” katanya kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat Bukit Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Surendran bersama keluarga dan bapa mangsa, V Darmasena menyerahkan memorandum menuntut siasatan terbuka.

Memorandum itu disampaikan kepada Penolong Ketua Urusetia Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman, ASP Ramli Mohamed Yoosuf.

Turut hadir, bekas tunang Dinesh, Yogeswary, 22, diiringi peguam Latheefa Koya, Ahli Parlimen Batu (MP), Tian Chua, MP Kapar, S Manikavasagam dan MP Subang, R Sivarasa.

Sementara itu, Sivarasa pula mempersoalkan mengenai prosedur, apabila kertas siasatan yang masih tidak lengkap dihantar ke pejabat Peguam Negara (AG).

Dalam masa sama, status pegawai polis terlibat tidak jelas sama ada digantung tugas atau tindakan mahkamah telah diambil.

“Macam mana JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) kata sudah hantar kepada AG? Bukit Aman salah faham. Kita nak mereka datang. Kita nak siasatan bebas.

“Saksi telah dipanggil. Mereka sahkan dan kenalpasti beberapa polis yang menembak. Tapi tidak ada kawad cam. Difahamkan akan ada soal siasat lagi. Ini menunjukkan polis tidak melengkapkan siasatan.

“Tapi kertas siasatan telah dihantar ke pejabat AG. Polis macam nak ‘cuci tangan’ dan lepaskan kepada mahkamah,” tegas Sivarasa.

Justeru, beliau menuntut satu pertemuan diadakan bersama keluarga mangsa dengan peguam oleh pegawai tertinggi JSJ.

Oleh Sidiqin Omar, www.keadilandaily.com