SHAH ALAM 23 November: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli untuk mengenepi pertuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 ke atasnya.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam penghakimannya menyebut, permohonan itu bersifat ‘pre-matual’ atau terlalu awal untuk dikatakan sebagai berniat jahat (mala fide) dan sepatutnya dilakukan ketika prosiding pendakwaan sedang berjalan.

Berikutan itu, peguam mewakili Rafizi, Sivarasa Rasiah, Latheefa Koya dan Eric Paulsen akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan, Isnin depan.

Hakim turut memutuskan kes pendakwaan yang dijadual berlangsung 3 Disember depan, ditangguh sehingga keputusan rayuan diperoleh.

Rafizi hari ini yang masih di Hong Kong bersama rombongan KEADILAN mengikuti kes tersebut dari sana.

Beliau bertemu Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) untuk membuka semula kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz dan jutawan balak, Michael Chia.

Rafizi pada 1 Ogos lalu ditahan di bawah akta Bafia dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau sebelum ini disiasat mengikut Bafia berikutan keberaniannya mendedahkan butiran penyelewengan perbankan National Feedlot Corporation (NFC) dan ahli pengarahnya, 16 Februari lalu.

NFC dikendalikan suami dan anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Tiada tindakan dikenakan terhadap Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail, suami Shahrizat.

Mohamad Salleh sebelum ini didakwa cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Beliau merupakan individu penting yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan dana NFC berjumlah RM250 juta.

Pada 30 Disember lalu, pihak berkuasa mendakwa pemberi maklumat dalam kes NFC, Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta.

Shamsubahrin turut pernah direman dan diarah melaporkan kepada pihak berkuasa kerana mendedahkan skandal yang melibatkan Umno BN.

Keadilan Daily sebelum ini melaporkan, tuduhan ke atas Shamsubahrin adalah taktik Umno bagi menjadikan ahli perniagaan itu ‘kambing hitam’ dalam skandal tersebut, sekaligus melindungi Mohamad Salleh.

Jika disabit kesalahan, Rafizi boleh didenda RM3 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan yang sama turut dikenakan terhadap pemberi maklumat skandal NFC kepada Rafizi, Johari Muhamad yang merupakan bekas kerani Public Bank.

Oleh Aisha Geoffrey, Keadilan Daily, 23 November 2012