Beliau turut menerima notis pendengaran tatatertib dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, tempatnya belajar.

KUALA LUMPUR: Pemimpin pelajar, Adam Adli yang menurunkan bendera memaparkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di PWTC Sabtu lalu membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya.

Menurut peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri, ugutan itu dipercayai diterima dari seorang anggota polis dikenali sebagai Ruslan Mokhtar.

“Ruslan dipercayai seorang anggota polis kerana pegawai polis di luar pondok Bukit Aman seolah-olah mengenalinya.  Adam pergi untuk membuat aduan tentang ugutan yang diterima dan pada masa sama polis cuba membawa Adam.

“Kita mahu lihat anggota polis yang terlibat diambil tindakan kerana jelas ada ugutan dari pihak-pihak yang mempunyai kuasa,” dakwa beliau.

Ujar Fadiah , tindakan Adam yang menurunkan bendera itu hanya tidak mematuhi sivil dan bukan berunsur jenayah.

Katanya, tindakan itu boleh diterima di seluruh dunia malah pihak polis disarankan menghentikan sebarang ancaman terhadap mahasiswa terbabit.

Sabtu lalu, Adam bersama kumpulan mahasiswa lain mengadakan perarakan dari Masjid Jamek ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan seterusnya ke bangunan PWTC.

Apabila tiba di PWTC, pelajar berkenaan menyerahkan pula memorandum mereka kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah

Terima notis tatatertib

Dalam perkembangan berkaitan, Adam menerima notis pendengaran tatatertib dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika  membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Adam berkata seorang individu tidak dikenali menyerahkan notis terbabit, yang mengarahkan beliau hadir ke perbicaraan tatatertib pada 9 Januari depan.

Beliau mengesahkan akan hadir menjalani perbicaraan tatatertib tersebut.

Dalam pada itu, Adam menegaskan tindakan beliau menurunkan bendera itu membuktikan bahawa mahasiswa komited untuk kebebasan akademik.

Beliau turut mengecam laporan Utusan yang memetik kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican  mendakwa beliau memijak bendera, sebaliknya jelas Adam ia fitnah yang dijalankan individu terlibat di belakang akhbar Umno tersebut.

“Saya tidak faham kenapa anda takut dengan kami? Kami bukan ahli politik tetapi mahasiswa. Kalau anda musuhi kami, maknanya apa yang mahasiswa lakukan adalah betul,” katanya.

Oleh Fazy Sahir | December 23, 2011

www.freemalaysiatoday.com