Kenyataan Akhbar: Lawyers for Liberty amat kesal dengan tindakan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri yang mengeluarkan perintah penahanan 2 tahun di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 terhadap K. Selvach Santhiran di mana pada 14 Disember 2010, beliau telah dihantar ke Pusat Permulihan Akhlak Batu Gajah seawal 9.00 pagi.

Tambah menyedihkan lagi, ahli keluarga Selvach langsung tidak berkesempatan untuk bertemu beliau meskipun pihak polis telah memberitahu isterinya, Puan Saraswathi bahawa ahli keluarga dibenarkan untuk melawatnya di IPKĀ  Kuala Lumpur pada pagi sebelum beliau dihantar ke Batu Gajah. Selvach juga tidak berpeluang untuk berjumpa dengan peguamnya yang turut datang bersama.

Seperti yang pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri sedia maklum, permohonan habeas corpus Selvach masih belum didengar oleh Mahkamah dan sekarang ditetapkan untuk pendengaran pada 20 Disember selepas di tunda beberapa kali sejak 3 Disember untuk membolehkan pihak polis menfailkan afidavit jawapan. Namun, di dalam masa tersebut, pihak berkuasa telah mengambil kesempatan dan tergesa-gesa mengeluarkan perintah penahanan sebelum permohonan habeas corpus Selvach diputuskan oleh Mahkamah.

Tindakan ini jelas menunjukkan sikap pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri yang tidak profesional, angkuh, berniat jahat dan menyalahgunakan kuasa kerana perbuatan yang sedemikian boleh menyebabkan permohonan habeas corpus tersebut menjadi akademik kerana Selvach kini ditahan di tempat lain menurut peruntukan undang-undang yang berbeza.

Tindakan tersebut juga merupakan secara prima facie suatu penghinaan kepada Mahkamah kerana pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri telah dengan sewenang-wenang dan berniat jahat menyalahgunakan kuasa mereka dan cuba sabotaj atau menganggu pendengaran habeas corpus tersebut.

Walaupun perangai buruk sebegitu, peguam-peguam Selvach akan tetap meneruskan pendengaran habeas corpus tersebut pada 20 Disember.

Dikeluarkan oleh:

Lawyers for Liberty