Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) percaya komen yang dibuat NGO hak asasi dan reformasi undang-undang, Lawyers For Liberty (LFL)menyamakan tindakan pihak berkuasa Johor seperti pihak Taliban sengaja dilakukan bagi menyemarakkan api kemarahan umat Islam.
Menyelar komen itu sebagai melampau, Timbalan Presidennya, Datuk Abd Rahman Bakar, berkata ia jelas dilakukan pihak yang mempunyai agenda tertentu.
“Perkasa percaya majoriti umat Islam tidak boleh terima komen dibuat pihak LFL itu yang menyamakan tindakan penguasa Johor untuk merobohkan surau menjadi tempat meditasi penganut Buddha seperti tindakan Taliban.

“Komen LFL itu sangat tidak bertanggungjawab dan biadap yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tulisan LFL di Twitter mendakwa pihak berkuasa agama Johor bersikap “seperti Taliban” kerana merancang merobohkan surau yang dikatakan dibina tidak menepati arah kiblat.
LFL dalam tulisan di Twitter turut mempersoalkan sekiranya arah kiblat itu perlu dipatuhi oleh manusia dan bukan oleh surau.
“Surau ‘meditasi’ Buddha tidak menghadap kiblat, kata Mufti Johor… Dah gila – surau kena hadap kiblat bukan manusia?,” tulisan itu dipetik dari laman sosial Twitter LFL.
Abdul Rahman berkata, komen bukan surau yang patut tentukan arah kiblat sebaliknya mereka yang hendak solat perlu tentukan kiblat jelas menunjukkan satu kenyataan membabi buta yang tidak tahu hujung pangkal.
“Adalah lebih baik LFL tidak masuk campur urusan Islam. Adalah lebih baik mereka membuat komen lebih positif yang sesuai dan bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, sebuah bangunan yang dibina khas sebagai surau perlu dibina bertepatan kedudukan mimbar imam dengan arah kiblat.
“Ini bukan seperti ruangan khas untuk umat Islam menunaikan solat di kompleks membeli belah atau pejabat dengan arah kiblatnya ditentu dan ditunjukkan berbentuk anak panah di siling ruangan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Perkasa meminta cadangan merobohkan surau itu dipertimbangkan semula kerana adalah lebih wajar jika pengusaha pusat peranginan berkenaan memperbetul kedudukan surau bertepatan dengan arah kiblat.
Malah, beliau juga menggesa semua majlis agama Islam negeri mewajibkan pihak yang ingin membina bangunan khas untuk dijadikan surau perlu mendapat kelulusan supaya ia menepati aspek ditetapkan.
Selain itu, beliau juga memohon Majlis Raja-Raja Melayu bertegas dalam menjaga kesucian Islam kerana isu penghinaan Islam dikatakan semakin menjadi-jadi dalam negara.
Semalam, LFL mengulas laporan media berhubung kenyataan penasihat Majlis Agama Islam Johor MAIJ, Datuk Noh Gadut yang mengandaikan surau itu mungkin akan dirobohkan kerana tidak menepati arah kiblat.
Terdahulu surau terletak di Pusat Peranginan Kota Tinggi Johor dilaporkan menjadi tempat bermeditasi sekumpulan penganut agama Buddha dan video memaparkan insiden itu dimuat naik di laman Youtube.
LFL juga turut mempertikaikan tempoh tahanan reman selama empat hari ke atas pemilik resort itu dan membuat beberapa komen iaitu;
“Taliban dah bertapak di Malysia – syabas BN,”
“MAIJ (Majlis Agama Islam Johor) macam Taliban, @PDRMsia (polis) salahguna kuasa tangkap/reman pemilik resort, majistret (pula) bersekongkol benarkan empat hari reman.”
“Agaknya @PDRMsia dah jadi penguatkuasa Taliban Msia lupa kerja sebenar – sibuk tangkap ‘penghina’ Islam bila hari-hari orang kena tembak/letupan.” – 14 Ogos 2013.
DIYANA IBRAHIM, the Malaysian Insider