Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Jonah ditangkap ketika sedang menunggu minuman di Up Town, Shah Alam kira-kira jam 10.45 malam tadi.

PETALING JAYA: Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin menjadi mangsa pertama tangkapan Bersih.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Jonah ditangkap ketika sedang menunggu minuman di Up Town, Shah Alam kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Beliau dibawa dalam keadaan bergari oleh dua kenderaan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam untuk disoal siasat.

Ketika dihubungi hari ini, beliau memberitahu, tiada sebarang alasan diberikan oleh tiga anggota polis preman ketika menangkapnya.

“Cuma  saya memakai baju Kuning Bersih 2.0 yang menyebabkan saya ditangkap. Menurut anggota polis baju itu boleh menghasut orang lain untuk menyertai perhimpunan Bersih 9 Julai depan.

“Saya bersendirian ketika itu kerana sedang menunggu minuman,” katanya.

Menurut Jonah,  beliau disoal siasat lebih sejam di IPD Shah Alam sebelum dibebaskan hampir jam 2 pagi tadi.

Ditemai peguam

Semasa di soal siasat beliau ditemani peguamnya, Latheffa Koya juga pemimpin muda PKR.

“Latheffa bertanya kepada anggota polis mengapa saya ditahan, pegawai penyiasat berkata disyaki akan menyertai perhimpunan Bersih.

“Polis sudah mengawal kawasan up Town sejak jam 5 petang lagi termasuk mengadakan sekatan jalan raya,” katanya.

Menurut Jinah beliau akan berbincang dengan peguam untuk menentukan sama ada mengambil tindakan undang-undang terhadap polis.

Bersih, gabungan parti politik dan badan bukan kerajaan akan mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Muda Mohd. Noor | June 25, 2011, Free Malaysia Today.com