MEMORANDUM BERKENAAN CADANGAN RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KESELAMATAN NEGARA 2015

Masyarakat  sivil memandang berat dengan penuh keprihatinan berkenaan cadangan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 yang dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada Selasa, 1 Disember 2015.

Rang Undang-undang ini memberi kesan yang buruk kepada rakyat Malaysia. Kami membantah cara ianya sedang digegas di Parlimen supaya diluluskan. Kesan Rang Undang-undang ini yang dikenakan terhadap rakyat Malaysia memerlukan pertimbangan yang lebih lanjut dan mendalam.

Berikut merupakan isu-isu yang jelas memerlukan perhatian segera:-

a)   Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, persoalan keperlembagaan Rang Undang-undang ini sangat dipertikaikan. Perkara 150 khususnya menyediakan peruntukan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Pengisytiharan Darurat di mana ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam. Peruntukan-peruntukan Rang Undang-Undang ini akan mewujudkan mekanisme yang berasingan di mana Perdana Menteri secara berkesan boleh mengisytiharkan “kawasan keselamatan”. Oleh yang demikian, Rang Undang-Undang ini secara berkesannya merampas kuasa Yang Di-Pertuan Agong, yang akan dapat dilaksanakan oleh Perdana Menteri.

b) Perdana Menteri diberikan kuasa tanpa had untuk mengisytiharkan mana-mana sahaja kawasan di Malaysia sebagai “kawasan keselamatan”. Peranan ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara hanyalah sebagai penasihat. Had enam bulan ke atas perisytiharan itu cuma satu khayalan (“illusion”) semata-mata kerana Perdana Menteri boleh, tanpa apa-apa perundingan, melanjutkan tempoh pengisytiharan seberapa kali yang dikehendaki;

c)    Memandangkan sudah pun wujud undang-undang yang mencukupi bagi menangani isu-isu keselamatan negara, mengapa Malaysia memerlukan satu undang-undang baru?;

d)  Seluruh undang-undang ini bersifat terlalu umum dan tidak jelas dalam kebanyakan takrifan utamanya, dan bidangkuasa yang amat luas diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara yang dicadangkan itu untuk menentukan apa yang menjadi suatu isu keselamatan, [Lihat s18 (1)];

e) Semua perlindungan hak-hak yang dijamin terhadap seorang warganegara biasa berkenaan dengan penangkapan, penggeledahan dan penyitaan harta benda akan  digantung di dalam “kawasan keselamatan”. Dalam erti kata lain, terdapat kuasa yang luas diberikan kepada pasukan keselamatan untuk mengabaikan hak-hak asasi manusia, kebebasan dan perlindungan untuk seorang warganegara biasa dalam “kawasan keselamatan”;

f) Pasukan keselamatan juga boleh menyita dan mengambil alih pemilikan mana-mana tanah, bangunan tanpa berpenghuni atau harta alih (sebagai contoh kereta) di kawasan keselamatan. Mereka juga mempunyai kuasa untuk memusnahkan mana-mana bangunan atau struktur di dalam kawasan keselamatan. Walaupun pampasan akan dibayar, ia diputuskan oleh Ketua Pengarah yang tidak mungkin mempunyai sebarang kepakaran dalam perkara itu;

g) Terdapat juga peruntukan yang membolehkan penggunaan kekerasan munasabah dan “perlu”. Apa itu “kekerasan perlu” tidak dijelaskan;

h)    Cukup menakjubkan, terdapat kuasa untuk mengetepikan inkues (pengadaan siasatan kematian) terhadap anggota pasukan keselamatan dan orang yang dibunuh dalam kawasan keselamatan selagi Majistret berpuas hati bahawa orang itu telah terbunuh dalam kawasan keselamatan akibat daripada operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan untuk tujuan menguatkuasakan mana-mana undang-undang bertulis. “Mana-mana undang-undang bertulis” juga termasuk kesalahan-kesalahan kecil;

i)  Undang-undang baru ini akan membolehkan Kerajaan Persekutuan memaksa Entiti-entiti Kerajaan untuk melapor kepadanya, dan untuk memberi maklumat kepadanya. Hal ini membolehkan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi kuasa Kerajaan Negeri;

j)     Rang Undang-undang ini melindungi ahli-ahli Majlis Keselamatan Negara dan jawatankuasanya daripada apa-apa jenis tindakan prosiding sivil dan jenayah dan oleh yang demikian menyebabkan mereka langsung tidak dipertanggungjawabkan ke atas tindakan mereka.

Malaysia tidak memerlukan Rang Undang-undang sebegini, yang merupakan suatu percubaan terang-terangan oleh Perdana Menteri untuk merebut lebih kuasa dan memusatkan kuasa dalam dirinya. Perkara ini bertentangan dengan semua prinsip-prinsip demokrasi dan menjejaskan kedaulatan undang-undang di negara ini. Ia akan mengubah Malaysia selama-lamanya.

Kami, ahli-ahli Masyarakat Sivil dengan ini mendesak semua ahli-ahli Parlimen  untuk memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan Perlembagaan Persekutuan dan membantah Rang Undang-undang ini. Kami mendesak agar Rang Undng-undang ini ditarik balik dengan serta-merta.

Dikeluarkan oleh Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia [HAKAM] bagi pihak
ahli- ahli Masyarakat Sivil.