Polis merakamkan kenyataan wartawan akhbar web PAS Harakahdaily ekoran laporannya berhubung pembabitan agen Israel dalam pasukan polis, seperti didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dzulfikar Mashoor atau nama sebenarnya Zainurfaqar Yaacob dipanggil membantu siasatan ekoran laporannya berjudul ‘Asiasoft: Ujian genting bagi Hishammuddin’ pada 10 April di laman web parti Islam itu.

Sehingga kini, laporan tersebut masih dimuatkan di Harakahdaily.

Kenyataan Zainurfaqar dirakamkan oleh seorang pegawai berpangkat DSP daripada Jabatan Jenayah Komersial Bukit Aman kira-kira dua jam bermula pada jam 8.10 malam tadi.

Beliau turut ditemani dua peguam Puspawati Rosman dan Murnie Hidayah Anuar ketika sesi tersebut.

Zainurfaqar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, beliau disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana terbabit “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.

Katanya lagi, sepanjang dua jam disiasat, beliau hanya menjawab soalan yang berkaitan dengan maklumat peribadinya sahaja “atas nasihat peguam”.

Zainurfaqar berkata, beliau dimaklumkan terdapat laporan polis dibuat terhadapnya oleh seorang anggota polis yang namanya disebut dalam laporan panjang dua muka surat itu.

Diminta menceritakan apa yang berlaku sepanjang dua jam proses rakaman tersebut, Zainurfaqar berkata proses tersebut berlangsung seperti biasa, kecuali sedikit ketegangan antara pegawai penyiasat dan seorang peguamnya.

Katanya, perkara tersebut ekoran peguamnya tidak puas hati dengan cara kenyataan Zainulfaqar direkodkan.

Beliau juga tidak pasti sama ada pihak polis akan memanggilnya semula untuk sekali lagi memberikan keterangan selepas ini.