Membaca berita tentang adik Patmanaban yang gagal mendapat biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran sangat menyesakkan dada saya. Boleh dikatakan setiap tahun ada sahaja kes seumpama ini yang berlaku. Saya sendiri tertanya-tanya, apakah kaedah yang digunakan untuk menyaring dan memilih calon–calon yang layak mendapatkan biasiswa ini.
Adakah kelayakan akademik, aktiviti ko-kurikulum dan temuduga sahaja yang menjadi kriteria pemilihan? Atau keturunan dan bangsa mereka turut menyumbang kepada kejayaan mereka mendapatkan biasiswa ini? Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru dibincangkan.
Sewaktu kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengadakan sistem tender terbuka untuk memilih kontraktor, ramai yang mengkritik tindakan tersebut kononnya akan menyebabkan kontraktor Melayu dan Bumiputera teraniaya dan tercicir.
Setiap kali saya bangkitkan isu ‘kedudukan istimewa’ ini, untuk dinilai dan dibincangkan secara ilmiah ramai yang melenting. Kononnya keistimewaan ini adalah hak mutlak mereka selaku ‘tuan’ di negara bertuah ini dan tidak boleh dipersoalkan. Dan sesiapa sahaja yang cuba mempersoalkan isu ‘keistimewaan’ ini dianggap sebagai pengkhianat, orang yang tidak mengenang jasa dan tidak faham sejarah.
Tidak dinafikan bahawa saya dan ramai lagi telah mendapat manfaat daripada ‘kedudukan istimewa’ ini. Tapi ianya bukanlah satu alasan untuk menghalang kami daripada mengkritik sistem yang sedia ada sekiranya terdapat ketempangan dan ketidakadilan berlaku.
Secara ringkasnya kedudukan istimewa ini diperuntukkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ianya menyentuh tentang kedudukan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam, pendidikan, ekonomi dan tanah rizab.
Menurut Laporan Suruhanjaya Reid, peruntukan ini bukanlah bersifat kekal untuk selama-lamaya. Ianya hendaklah di semak semula selepas 15 tahun kemerdekaan. Justeru, adalah tidak tepat sekiranya kita menganggap kedudukan istimewa ini sebagai suatu ‘hak’ dan ianya kekal selama-lamanya di dalam Perlembagaan.
Kita boleh mengandaikan Perkara 153 ini sebagai ‘handicap’ kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang bersifat sementara untuk mempersiapkan mereka bersaing dipentas ‘amatur’. Tetapi apabila mereka masuk ke gelanggang profesional, mereka tidak lagi memerlukan ‘handicap’ ini.
Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih daripada 50 tahun, kita sewajarnya mempersiapkan diri untuk bersaing secara lebih terbuka dan sihat di pentas antarabangsa berdasarkan merit dan kualiti. Bukannya belas ehsan dan kasihan kerana kita amatur. Dan untuk mempersiapkan diri ke arah itu, kita harus mulakan dengan persaingan yang sihat dan adil di dalam gelanggang kita sendiri.
Kontraktor Melayu tidak disisihkan
Secara peribadi, saya merasakan langkah yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melaksanakan tender terbuka harus diberikan pujian. Melalui statistik yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, walaupun sistem tender terbuka dijalankan, kontraktor–kontraktor Melayu tidak disisihkan.
Sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa mereka diberikan kontrak bukan kerana mereka Melayu, atau mempunyai hubungan rapat dengan ketua cawangan tetapi kerana kualiti kerja dan merit yang baik. Sekiranya mereka tidak mendapat kontrak tersebut, mereka akan sedar bahawa mereka masih memerlukan penambahbaikan dalam mutu dan kerja mereka.
Namun senario yang berlaku di Malaysia sekarang ini cukup merisaukan. Kedudukan istimewa ini telah dianggap sebagai sesuatu perkara yang ‘extra-sensitive’ untuk diwacanakan secara ilmiah dan tanpa emosi.
Sehingga ada sarjana undang-undang yang mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang mempersoalkan dan mencadangkan agar peruntukan ini dimansuhkan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Hasutan.
Sekiranya sifir ini digunakan, maka laporan Suruhanjaya Reid juga berunsur hasutan kerana mencadangkan supaya Perkara 153 dikaji selepas 15 tahun kemerdekaan. Begitu juga Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pindaan dilakukan kepada Perkara 153 juga berunsur hasutan.
Perbincangan ilmiah dan kritikan akan sentiasa berlaku dalam masyarakat bertamadun. Mengapa Akta Hasutan ini sering digunakan untuk menakut-nakutkan dan memandulkan ‘intellectual discourse’ yang boleh memajukan fikiran rakyat?
Sebagai seorang Muslim, diantara perkara terpenting yang diajar dan ditekankan oleh Islam ialah keadilan. Di dalam Surah Al Maidah ayat 8, Allah (S.W.T) mengingatkan kita:
“Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.”
Bangsa, keturunan dan keluarga adalah perkara yang berada di luar kawalan manusia. Tidak ada sesiapa di dalam dunia ini yang boleh memilih untuk menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain. Ianya adalah hadiah yang diberikan oleh Allah. Maka sudah pastilah setiap bangsa itu istimewa.
Tidak ada sesiapa yang lebih dan tidak ada sesiapa yang kurang. Secara peribadi saya merasakan ‘positive discrimination’ merupakan sesuatu yang asing dan janggal daripada ajaran Islam. Kerana Islam mengarahkan keadilan untuk semua tanpa mengira kaum, warna kulit, agama dan keturunan. Setiap orang adalah sama pada pandangan Allah (S.W.T).
Dalam Surah Al Hujaraat ayat 13, Allah (S.W.T) mengingatkan kita tujuan diciptakan manusia ini dalam pelbagai bangsa dan keturunan:
“Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa- bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.”
Maka siapakah kita untuk mengatakan bahawa kita lebih ‘tuan’ dari yang lain? Saya berdoa mudah–mudahan adik Patmanaban dan sesiapa sahaja yang teraniaya diberikan keadilan yang selayaknya berdasarkan merit mereka.
Oleh Afiq M Noor. Penulis ialah ahli NGO Lawyers for Liberty.