KUALA LUMPUR: Peguam hak asasi manusia N Surendran mengkritik Akta Polis 1967 yang menjadi batu penghalang kepada hak berhimpun.

“Sesuatu hak bukan hak sekiranya permit diperlukan untuk mengamalkan hak tersebut. Ia lesen,” kata beliau yang juga merupakan antara pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lawyers For Liberty pada bengkel ‘Hak Berhimpun’ anjuran NGO tersebut di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini malam tadi.

Bengkel ini diadakan untuk menjelaskan perspektif undang-undang berkenaan dengan hak berhimpun berkaitan perhimpunan Bersih dijadualkan akan diadakan pada 9 Julai ini.

Mengulas lebih lanjut perkara tersebut, Surendran yang berpengalaman selama 18 tahun sebagai peguam hak asasi manusia menjelaskan bahawa Seksyen 27(5) Akta Polis yang digunakan pihak berkuasa bagaikan ‘orang kenit’ berbanding dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebenarnya adalah tidak sah sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 4,” kata Surendran di hadapan kira-kira 100 peserta bengkel ‘Hak Berhimpun’.

Perlembagaan Persekutuan dinodai

Beliau turut menjelaskan bagaimana Akta Polis menodai kesucian Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila Seksyen 27(5) Akta Polis menekankan keperluan permit, ia tidak mengekang hak berhimpun sebaliknya membatalkan hak tersebut,” kata Surendran.

Surendran yang menggunakan contoh undang-undang England menjelaskan bahawa di negara tersebut pihak polis hanya perlu dimaklumkan berkenaan perhimpunan dan tidak perlu memohon permit.

Beliau turut menjelaskan bahawa halangan terhadap hak berhimpun yang diwujudkan dalam Perkara 10 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan hanyalah untuk perkara-perkara melibatkan keselamatan negara.

Surendran yang juga merupakan Naib Presiden PKR membuktikan perhimpunan umum adalah perlu untuk menjana perubahan.

Beliau menggunakan contoh rapat umum Umno pada 1946 untuk menentang Malayan Union dan juga rapat umum anjuran pemimpin berhaluan kiri seperti Ahmad Boestamam.

“Sekiranya Hishammuddin Hussein menjadi menteri dalam negeri pada ketika itu, adakah beliau akan memenjarakan datuknya sendiri, Datuk Onn Jaafar yang berdemonstrasi ketika itu?,” soal Surendran secara sinis berikutan amaran Hishammuddin melarang rakyat menyertai perhimpunan Bersih.

K Pragalath | July 1, 2011, Free Malaysia Today