Surendran menegaskan tindakan itu bukan bertujuan untuk menentang sesiapa tetapi demi menuntut keadilan di atas kematiannya.

PETALING JAYA: Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati April lalu menuntut agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mengendalikan inkuiri berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor terbabit.

Tuntutan itu  disuarakan peguam yang mewakili keluarga, N Surendran meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati kabinet dan seterusnya Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menubuhkan RCI tersebut.

Surendran menegaskan tindakan itu bukan bertujuan untuk menentang sesiapa tetapi demi menuntut keadilan di atas kematiannya.

Beliau mendakwa tiada ketelusan dalam inkues yang dijalankan kerana keterangan bahawa Sarbaini menerima rasuah adalah tidak berasas sama sekali dan hanya dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini seperti mana yang berlaku dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

“Koroner yang menjalankan inkues membelakangkan undang-undang sedia ada apabila menerima keterangan yang tidak berasas bahawa Sarbaini menerima rasuah.

“Memandangkan Sarbaini tidak dapat menjawab tuduhan rasuah itu, bagaimana boleh bergantung dengan kenyataan tersebut?

Keterangan ini dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini maka inkues telah terjejas kerana ia bukan bertujuan untuk mencari keadilan.

“Maka tiada cara lain untuk dapatkan keadilan yang telus melainkan dengan menubuhkan RCI,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu termasuk ibu Sarbaini, Aishah Abd Raof, adik ipar arwah Makhtar Mansor, wakil keluarga Beng Hock dan seorang lagi wakil peguam keluarga terbabit Fadiah Nadwa Fikri.

Surendran turut mempertikaikan pelantikan Datuk Shafie Abdullah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan semua sedia maklum bahawa agensi terbabit mempunyai peguamnya sendiri.

“SPRM awal-awal lagi tidak berminat dengan kes ini. Mereka hanya berminat untuk membela diri sendiri. Sepatutnya mereka berusaha untuk mencari kebenaran.

“SPRM dibiayai oleh pembayar cukai. Agensi terbabit menggunakan RM150,000 hanya untuk membayar peguam Umno untuk membela mereka. SPRM kena jelaskan mengapa wang RM150,000 itu digunakan untuk membayar Shafie Abdullah?,” soalnya.

Sarbaini 56, ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Oleh Fazy Sahir| October 15, 2011

www.freemalaysiatoday.com