Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Afiq M. Nor yang menziarahi tahanan ISA pada hari ini, mengesahkan kepadaMerdekaReview bahawa tahanan telah menamatkan mogok lapar dua hari yang lalu, lantaran “badan lemah”.  Di samping itu, Afiq juga mengesahkan bahawa tahanan Razali Kassan dipukul dan diludah pegawai penjara dalam Kem Tahanan Kamunting.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Afiq berkata dirinya bersama Farhana Halim, seorang lagi peguam LFL telah tiba di Kamunting pada jam 10 pagi, hari ini.  Namun mereka hanya dibenarkan masuk untuk berjumpa dengan anak guam mereka pada jam 4 petang.

Menurut Afiq, lapan orang tahanan terpaksa menamatkan mogok lapar mereka dua hari lalu, kerana terlalu lemah.  Mohamad Fadzullah Razak adalah tahanan terakhir untuk menamatkan mogok lapar.  Afiq berkata, pihak peguam mendapat pengesahan daripada tahanan, bahawa Razali Kassan dipukul dan diludah kerana mogok lapar.  Salah seorang tahanan, Fadzullah Razak juga diberi amaran, berbunyi, tiada masalah jika mogok lapar hanya untuk dua tiga hari, tetapi jika lebih dari tiga hari, maka tindakan itu dilihat sebagai mencabar pegawai penjara.

Sembilan orang tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) telah memulakan mogok lapar mereka sejak 21 Jun, menuntut agar 45 orang tahanan ISA yang masih ditahan di Kamunting dibebaskan selepas pemansuhan ISA.  Pada masa yang sama, Kementerian Dalam Negeri didesak untuk menyiasat dakwaan tahanan dipukul dan menutup KemTa.  Bagaimanapun, Razali Kassan terpaksa mengakhiri mogok laparnya pada hari ke-13 kerana terkena jangkitan Hepatitis B.  Lapan orang tahanan yang lain juga menamatkan mogok lapar pada keesokannya.

Lamb Chop pilihan Hishammuddin Hussein

Sementara itu, Afiq berkata “tiada apa untuk diulas” berhubung kenyataan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein dalam laman sosial twitternya yang mengundang pertikaian.  Semalam, ketika membalas tweet pengikutnya Haziq Abdul Aziz yang berbunyi “Amboi tahanan ISA mogok lapar kau makan lamb chops…”, Menteri Dalam Negeri ini menjawab, “pilihan mereka, lamb chops pilihan aku 😉 “.

Untuk Afiq, Hishammuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri tidak pernah menjawab soalan yang berbangkit berhubung tahanan ISA.  Malah, sejak hari pertama mogok lapar dilancarkan tahanan, menteri KDN ini tidak menjawab soalan.  Oleh itu, biarlah beliau jika beliau mahu terus bergurau di twitter dirinya, kata Afiq.

Di samping itu, pihak KemTa juga melarang kakitangannya daripada menyambung mana-mana panggilan media kepada pengarah KemTa.  Ketika dihubungi MerdekaReview petang tadi, kakitangan yang mengangkat panggilan berkata, “Kami dapat arahan tak boleh sambung mana-mana panggilan media untuk pengarah, kami dapat arahan macam itu.”

Apabila ditanya bila arahan ini dikeluarkan, beliau menjawab, “Semalam, urusetia bagi tahu.  Malaysiakinipun dah telefon dah.”

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks penuh.

Chen Shaua Fui | 6.7.2012

http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13226