KUALA LUMPUR, 5 Dis — Keputusan mahkamah membebaskan Korporal Jenain Subi daripada tuduhan menyebabkan kematian remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dibantah oleh kumpulan “Lawyers for Liberty (LFL)”, malah menggesa Peguam Negara (A-G) supaya merayu semula keputusan tersebut atas alasan wujudnya kelemahan pihak berkuasa dalam menguruskan kes tersebut.
LFL menegaskan, terdapat beberapa perkara dalam penyiasatan tersebut mewujudkan keraguan seperti 21 das tembakan dilepaskan untuk menghentikan kereta Proton Iswara yang dipandu Aminulrasyid, dan juga masih lagi tiada penjelasan berkenaan parang yang dikatakan dijumpai di dalam kereta yang dipandu kanak-kanak 15 tahun itu.
“Bagaimana seseorang itu boleh melepaskan 21 das tembakan hanya untuk menghentikan kereta tanpa mengetahui ia akan menyebabkan kematian … malah, ia turut diakui Junain ketika perbicaraan di mahkamah.
“Kemudian, pihak pendakwaan juga mempunyai saksi keseluruhan insiden tersebut, Azamuddin yang juga bersama Aminulrasyid ketika kejadian.
“Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang kini merupakan Timbalan Ketua Polis Negara juga tidak memberikan penjelasan berkenaan parang yang dikatakan ditemui di dalam kereta berkenaan,” tegas Penasihat LFL, Eric Paulsen.
Paulsen melihat keseluruhan proses perbicaraan kes itu tidak diurus dengan baik dan menunjukkan ada cubaan pihak polis untuk melindungi kes tersebut.
Justeru itu, LFL menggesa campurtangan A-G untuk merayu keputusan kes tersebut, dan membentuk IPCMC, serta undang-undang pihak berkuasa termasuk prosedur operasi standard dikemukakan kepada umum.
“Termasuklah Perintah Arahan Tetap Ketua pada garis panduan polis mengenai pelepasan senjata dan penahanan dan soal siasat,” katanya.
Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas setelah hakim Datuk Abdul Rahman Sebi memutuskan menerima rayuan Jenain, 49, terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di sini pada September tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun.
Abdul Rahman juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.
Pada 13 Sept tahun lepas, Hakim Latifah Mohd Tahar menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah melakukan kesalahan itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010.
Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Oleh Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider

December 05, 2012