PETALING JAYA: 10 Mac 2013, Editor KeadilanDaily, Fazallah Pit hari ini mendakwa wartawannya, Aisha Geoffrey melaporkan berita yang betul dan selari dengan kenyataan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bersabit isu pencerobohan bersenjata tentera Sulu di Lahad Datu.

Malah Fazallah mendakwa kenyataan Tian Chua yang dilaporkan KeadilanDaily pada 1 Mac lalu diputarbelit blogger Umno, sehingga ia mencetuskan kemarahan rakyat.

“Laporan yang wartawan tulis itu betul dan Tian chua cakap juga betul tetapi konteks yang dilaporkan dengan mengaitkan Anwar Ibrahim adalah tidak betul. Gambaran bacaan blogger berbeza,” katanya selepas selesai memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, Seksyen 8, petang tadi.

Beliau kemudiannya menyangkal tuduhan bahawa Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR itu mengaitkan kematian pasukan polis sewaktu berdepan dengan penceroboh dengan ‘sandiwara’ Umno.

Katanya lagi, artikel berjudul ‘Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang Umno – Tian’ diterbitkan sebelum pasukan keselamatan negara dilaporkan terbunuh dalam siri serangan hendap penceroboh.

Sementara itu, Aisha yang turut ditemubual pemberita berkata Tian Chua sebelum ini mahu menepis tohmahan yang dilemparkan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan ‘mendalangi’ pencerobohan di Lahad Datu.

“Pendirian saya sama dengan Keadilan dan Tian Chua. Berita dan temubual oleh Tian Chua sebelum laporan kematian dilaporkan, ia cubaan untuk mengaitkan Anwar dengan kejadian itu, itu maksud Tian Chua,” ujarnya.

Kedua-dua kakitangan portal rasmi parti pembangkang itu diwakili peguambela Eric Paulsen yang turut hadir sebentar tadi.

Eric memberitahu pihaknya kecewa kerana isu ini dipolitikkan selain menyifatkan Tian Chua sebagai ‘kambing hitam’ yang dijadikan mangsa pihak tertentu.

“Pihak kami sedikit kecewa kerana kumpulan polis dari Johor, banyak yang membazirkan masa kerana isu ini berbaur politik. Lebih 200 laporan telah dibuat pelbagai pihak membuat tuduhan. Bagi pihak kami Tian Chua dikambing hitamkan,” tegasnya.

Tian Chua sebelum ini memberitahu beliau enggan menyaman KeadilanDaily walaupun mengakui portal itu melaporkan beliau ada menyebut ‘sandiwara kerajaan Umno’.

Katanya beliau hanya akan bertanggungjawab ke atas petikan ayat-ayat ketika dihubungi pemberita dan bukannya olahan penulisan yang dibuat penyunting berita berkenaan.

Beliau kemudiannya menyerahkan kepada rakyat untuk mengambil tindakan lanjut jika mendapati berita berkenaan mempunyai unsur-unsur fitnah.

(Dari Antarapos.com)