Kehadapan Perdana Menteri,

Kami menulis kepada Perdana Menteri sebagai pertubuhan hak asasi manusia Malaysia, yang prihatin terhadap kematian Mendiang C. Sugumar pada 23 Januari 2013.

Tidak syak lagi, Perdana Menteri pasti akan bersetuju bahawa keadaan kematian beliau cukup mengerikan dan sangat serius; Mendiang Sugumar telah dikejar oleh sekumpulan anggota polis berpakaian seragam; beliau dengan cepat dikuasai dan digari. Namun dalam proses tersebut, segerombolan samseng menyerang dan melucutkan pakaian beliau sehingga bertelanjang dan seorang anggota polis melumur muka beliau dengan serbuk kunyit. Meskipun beliau telah tertiarap mengadap ke bawah di atas tanah, dengan tangan bergari ke belakang, seorang anggota polis memijak leher beliau, sehinggalah beliau berhenti bergelut. Beliau meninggal dunia dan tiada usaha dibuat untuk memulihkan beliau atau tiada sebarang rawatan perubatan yang diberikan kepada Mendiang.

Kini, PDRM telah membuat dakwaan luar biasa bahawa mereka tidak bertanggungjawab di atas kematian Mendiang serta mendakwa tiada anggota mereka yang terlibat dalam sebarang kesalahan jenayah. Ini kerana menurut PDRM, laporan bedah siasat menunjukkan Mendiang Sugumar meninggal dunia akibat serangan jantung. Ianya tidaklah menghairankan disebabkan PDRM memiliki sejarah dahsyat melindungi dan menafikan pertanggungjawaban, lihatlah contohnya, kematian dalam tahanan Mendiang A. Kugan dan kematian tembakan polis Allahyarham Aminulrasyid, remaja berusia 15 tahun.

Dalam mengharungi jalan panjang sejarah daripada kemerdekaan politik sehinggalah kepada Malaysia yang moden dan demokratik, kita seolah-olah kehilangan arah haluan dan telah membenarkan berlakunya keganasan institusi kerajaan dalam paparan awam, untuk pihak berkuasa bertindak sewenang-wenangnya dengan kekebalan undang-undang dan tanpa keadilan. Peristiwa tragis menyayat hati ini mencemarkan nama baik Malaysia dan merupakan peringatan sangat penting tentang seberapa jauh lagi hasrat Malaysia yang kita cita-citakan itu.

Telah lebih dua bulan berlalu semenjak Mendiang Sugumar dibunuh pada siang hari, secara terang-terangan ketika di bawah penahanan polis. Mayat beliau masih tersimpan di rumah mayat Hospital Serdang, sementara menanti upacara pengkebumian yang belum selesai dan yang paling diperlukan bedah siasat kedua yang telah disekat oleh pihak berkuasa pada setiap peringkat pentadbiran.

Kami berasa amat duka cita kerana terlalu sedikit simpati yang dihulurkan atau maklum balas daripada pihak berkuasa dan ahli-ahli politik yang membentuk kerajaan. Walaupun kematian Mendiang Sugumar diperjuangkan terutamanya dikalangan parti-parti pembangkang dan masyarakat sivil, perkara ini tidak perlu dipersoalkan. Malahan, pihak berkuasa sepatutnya menangani kematian beliau bukannya sekali lagi, dengan membuta-tuli menyokong pasukan polis.

Beberapa kematian dalam tahanan polis telah berlaku pada tahun ini, antaranya, Chin Te, Mohd Ropi dan M. Ragu yang turut ikut menyertai senarai sangat panjang dan tragis menyayat hati, iaitu senarai mereka yang telah meninggal dunia dalam tahanan PDRM.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, dari tahun 2000 sehingga Februari 2011, seramai 156 orang telah ditemui mati dalam lokap atau tahanan. Tetapi terlalu sedikit pertanggungjawaban, ketelusan atau sebarang penyiasatan sebenar oleh pihak mahkamah, polis, Pejabat Peguam Negara dan hospital yang menyediakan bantuan perubatan dan melakukan bedah siasat. Daripada 156 kes ini, 85 (atau 54.5%) diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (No Further Action), apakah maksudnya hal ini?

Sebarang kematian dalam jagaan atau tahanan polis sepatutnya perlu diperhatikan secara serius. Namun demikian, institusi-institusi negara yang penting ini dalam kebanyakan kes, jika tidakpun kesemua kes, memilih untuk meremehkan, menutup, mengabai atau bahkan membuat dakwaan keterlaluan terhadap kematian-kematian ini. Ianya menyebabkan institusi terbabit hilang wibawa dan keyakinan orang ramai. Walaupun senarai panjang kematian dalam tahanan ini, terlalu sedikit anggota polis yang didakwa atas kesalahan jenayah, apalagi lebih sedikit lagi yang didapati bersalah atas sebarang kesalahan.

Oleh yang demikian, kami membuat rayuan ini dengan harapan bahawa sebagai bakal Perdana Menteri seterusnya, kamu akan membetulkan ketidakadilan yang berleluasa ini dan membenarkan keluarga Sugumar mendapat keadilan dan melakukan upacara penutup kematian beliau. Untuk hal ini berlaku, institusi-institusi negara mesti dibebaskan daripada campurtangan politik yang tidak wajar supaya institusi-institusi ini dapat berfungsi secara merdeka dan saksama seperti mana-mana negara demokratik moden lainnya.

Akhirnya, kami berharap Perdana Menteri yang baru juga akan menyokong penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang pastinya akan berganjak lebih jauh lagi dalam mencegah kematian dalam tahanan dan meningkatkan keyakinan awam.

Terima kasih

Yang Benar,

Eric Paulsen
Pengasas Bersama dan Penasihat
Lawyers for Liberty