PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini memfailkan satu notis permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan pertuduhan menghasut berhubung peristiwa Lahad Datu.
Beliau yang juga ahli parlimen Batu didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan dua peguamnya, Eric Paulsen dan Latheefa Koya.
Menurut mereka, permohonan itu dibuat berdasarkan alasan bahawa prosiding jenayah ini adalah penyalahgunaan proses dan suatu ejekan keadilan.
“Ia adalah kewajipan Mahkamah untuk memastikan terdapat perbicaraan adil mengikut undang-undang dan selanjutnya melindungi dan memelihara maruah dan integriti dalam proses keadilan jenayah dan sistem kehakiman,” kata mereka.
Pertuduhan terhadap Tian Chua kata mereka, lebih cenderung bermotifkan politik, perbuatan pendakwaan terpilih, dilakukan dengan berniat jahat dan menjejaskan kedaulatan undang-undang.
“Pertuduhan terhadapnya adalah salah disisi undang-undang kerana kesalahan menghasut dibawah Akta Hasutan hanya boleh digunapakai sekiranya perkataan-perkataan tersebut merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong (atau Yang di-Pertua Negeri) atau terhadap Kerajaan dan bukannya parti politik seperti Umno.
“Ini telah disahkan apabila Umno telah memfailkan saman fitnah terhadap beliau melalui Guaman Sivil No: 23 NCVC-36-03/2013 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurut mereka, Akta Hasutan merupakan akta lapuk yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris dan tidak sesuai digunakan di masa sekarang. Ianya melanggari hak-hak asasi khususnya Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Tambahan lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Julai 2012, telah mengumumkan untuk memansuhkan akta tersebut.
“Beliau sendiri mengakui bahawa akta itu dari “bygone era” dan akan digantikan dengan Akta Harmoni Nasional,” jelas mereka.
FMT.com