Kehadapan rakyat Malaysia,

Pada 5 Mei 2013 ini, kita bakal mengundi untuk Pilihanraya Umum ke 13 dalam harapan yang akan menjadi suatu detik perubahan penting sejarah Malaysia – yang meruntuhkan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan. Hakikatnya kerajaan yang sama telah memerintah kita untuk sekian lama tanpa gangguan. Ia suatu rekod dunia yang tidak diingini dan pastinya memalukan mana-mana demokrasi, apatah lagi “demokrasi terbaik” sepertimana yang didakwa bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Kerajaan BN telah memerintah Malaysia secara berterusan dengan cengkaman kuku besi selama 55 tahun yang lalu. Dalam masa yang sama mempunyai pilihanraya demokratik sekadar pada nama sahaja. Namun di bawah keseronokan demokrasi ini, tidak ada kebebasan media atau kemerdekaan sivil yang asasi seperti kebebasan bersuara, hak berpersatuan dan berhimpun. Malahan lawan politik ditangkap secara rutin dan didakwa atas tuduhan bermotifkan politik, di bantu dan disokong oleh institusi-institusi kerajaan termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Bukan lagi rahsia lanskap politik Malaysia telah dikuasai oleh BN. Setelah berdekad-dekad penguasaan BN, institusi kerajaan, struktur kuasa, dasar politik, ekonomi dan budaya dengan rakusnya digubal. Ia bertujuan untuk memuaskan politik diri mereka sendiri dan selalunya untuk disesuaikan dengan agenda tidak demokratik dan menyalahi dengan undang-undang. Mereka yang kaya, berkuasa serta memiliki hubungan rapat dengan pemimpin BN terus melanggar undang-undang, bertindak sesuka hati. Ini kerana BN terus melindungi mereka serta dalam masa yang sama memperkayakan ahli keluarga mereka, kroni politik dan sekumpulan kecil ahli perniagaan maha kaya yang bersekutu dengan BN.

Pemerintahan berterusan BN sebegini telah menciptakan suatu budaya bertindak sewenang-wenangnya, di mana kerajaan tidak memiliki pertanggungjawaban kepada sesiapapun. BN telah ‘mengabadikan’ dirinya dalam institusi-institusi penting negara sebagai satu-satunya kerajaan ‘yang paling berhak’. Manakala mereka yang membantah, termasuklah parti-parti pembangkang dan masyarakat sivil secepatnya diburuk-burukkan dan digambarkan sebagai musuh. Ia dilakukan dengan bantuan media arus perdana yang berkait dengan kerajaan. Sebarang cubaan untuk reformasi akan bertemu dengan kesenyapan, tidak berbuat apa-apa, janji manis atau lebih teruk lagi, tindak balas.

Daripada siasatan dan pendakwaan terpilih Jabatan Peguam Negara, polis dan SPRM, sehinggalah kepada kehakiman; cukup jelas institusi-institusi negara berkongsi peranan yang sama terhadap kes-kes tertentu. Ia berfungsi untuk menegakkan kuasa politik parti pemerintah dan sekutunya dan bukanlah untuk memastikan kedaulatan undang-undang serta keadilan untuk semua rakyat Malaysia tanpa rasa takut atau pilih kasih. Sebagai balasannya, institusi-institusi negara ini dilindungi oleh kerajaan dan ahli politik BN apabila mereka melakukan jenayah dan salah laku lainnya. Hal ini termasuklah, kes-kes pembunuhan di luar batas perundangan – lihatlah Teoh Beng Hock, Aminulrasyid dan C. Sugumar – hanya menamakan beberapa kes kematian tidak masuk akal yang paling berprofil tinggi berpunca daripada pihak polis dan SPRM.

Kematian Teoh Beng Hock membawa inkues kehakiman dan Suruhanjaya Siasatan Di Raja yang membuat kesimpulan mustahil bahawa mendiang telah membunuh diri dan tidak ada tipu helah kotor terhadap kematiannya di bangunan pejabat SPRM. Anggota polis yang telah melepaskan tembakan maut terhadap arwah Aminulrasyid telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa tindakan anggota polis tersebut menembak sekurang-kurangnya 21 das peluru pada kereta yang melarikan diri dengan dipandu remaja bawah umur itu sebagai bukan jenayah. Jasad C. Sugumar terus kekal di rumah mayat Hospital Serdang dengan pihak polis bertegas bahawa mendiang telah meninggal dunia akibat ‘serangan jantung’ meskipun beliau secara terbuka telah dipukul dan lehernya dipijak, ketika tertiarap memandang ke bawah dan tangannya bergari di belakang.

Jangan silap, BN tidak mampu melakukan reformasi tulen dan sebagaimana yang ditunjukkan dalam kematian Teoh Beng Hock, Aminulrasyid dan C. Sugumar, institusi-institusi negara akan sentiasa melindungi di antara satu sama lain, manakala tuan-tuan politik mereka akan sentiasa membela mereka. Tidak akan ada keadilan, amanah kejujuran dan kedaulatan undang-undang selagi BN masih berkuasa.

Ya, benar Malaysia tidak seteruk ‘negeri-negeri Afrika’ sepertimana yang sering disebut ahli-ahli politik BN. Tetapi Malaysia pasti boleh melakukan yang lebih baik. Janganlah kita menjadi mangsa kepada pepatah lama bahawa dalam demokrasi rakyat akan mendapat kerajaan yang mereka berhak dapat.

Kita patut mendapat yang lebih bagus dan mari kita semua mengundi untuk Malaysia yang lebih baik!

Yang benar,

Eric Paulsen
Pengasas Bersama dan Penasihat Lawyers for Liberty