Merujuk kepada kenyataan peguam Abdul Khalid Ibrahim yang menyatakan bahawa Akuan Berkanun (Statutory Declaration) yang telah ditandatangani oleh 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bukanlah satu bukti yang konklusif bahawa Abdul Khalid Ibrahim telah hilang kepercayaan majoriti sebagai Menteri Besar. Menurut beliau, Akuan Berkanun tersebut boleh ditarik dan dipinda pada bila-bila masa sahaja.
Oleh yang demikian bagi membuktikan bahawa Abdul Khalid telah hilang sokongan hanyalah melalui satu usul tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri atau perbincangan dengan Sultan Selangor.
Akuan Berkanun merupakan satu dokumen statutori di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13). Menurut Seksyen 2 Akta Akuan Berkanun, 1960 akuan ini hendaklah dibuat dihadapan mana-mana Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah atau Notari Awam. Akuan tersebut hendaklah dibuat secara sukarela di dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.
Sekiranya akuan tersebut di buat di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah, Kaedah 13 (2) Kaedah-Kaedah Pesuruhjaya Sumpah 1993 memperuntukkan bahawa seorang Pesuruhjaya Sumpah tidak boleh menandatangani dan menurunkan metrainya pada sesuatu akuan sekiranya dia mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa orang yang mengikrarkan akuan tersebut bertujuan untuk salahlaku fraud, duress dan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.
Saya percaya bahawa kesemua 30 ADUN yang menandatangani Akuan Berkanun tersebut, telah mengetahui dan maklum akan implikasi perundangan sekiranya mereka menyediakan satu akuan palsu dan tidak benar. Menurut Seksyen 3 Akta Akuan Berkanun, 1960 menyediakan satu akuan palsu merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Kesiksaan. Nyata Akuan Berkanun yang disediakan oleh 30 ADUN tersebut adalah satu dokumen yang serius dan mempunyai kesan di bawah undang-undang.
Berdasarkan penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2010 dalam kes Dato’ Seri IR Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin v Dato’ Seri Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, YAA Tun Ariffin Zakaria menyatakan “..evidence of loss of confidence in the MB may be gathered from other extraneous sources provided, as stated in Akintola, they are properly established. Such sources we think, should include the admission by the MB himself and/or representations made by members of the LA that the MB no longer enjoys the support of the majority of the members of the LA”
Saya percaya kita tidak lagi berkomunikasi menggunakan perantaraan burung merpati seperti zaman dahulu. Kebanyakkan dari kita di Malaysia boleh mengetahui apa yg berlaku di segenap penjuru dunia kurang dari 2 saat. Adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal untuk Khalid Ibrahim meragui 30 ADUN yang tidak lagi yakin dengannya sebagai MB.
Akuan Berkanun tersebut menurut saya adalah bukti yang konklusif dan jelas bahawa 30 ADUN ini telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim. Sekiranya Khalid merasakan perlunya diadakan satu undi tidak percaya di dalam Dewan Undangan Negeri, mengapa Khalid sendiri tidak memanggil satu sidang khas bagi membolehkan satu undi tidak percaya ke atas dirinya. Bola berada di gelanggang Khalid kerana seorang MB boleh memanggil satu sidang khas di Dewan Undangan Negeri.
Afiq M Noor
16.8.2014
Lawyers For Liberty
www.lawyersforliberty.org
Twitter: @lawyers4liberty