Kenyataan Akhbar
22 Ogos 2015
Mudahcarakan Bersih 4.0, usah gembar-gemburkan dakwaan
Lawyers for Liberty melihat dengan kebimbangan terhadap reaksi keterlaluan dan tidak membantu pihak berkuasa ke atas perhimpunan Bersih 4.0 akan datang pada 28 dan 29 Ogos. Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan, Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan, DBKL, dan juga polis antara lainnya, tidak perlu berpura-pura tidak tahu bahawasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan, kebebasan berhimpun dijamin selagi ia aman, dan tiada perhimpunan boleh diisytiharkan sebagai “haram” di bawah Akta Perhimpunan Aman, Kanun Keseksaan atau kerana tidak mendapatkan “kebenaran” dari pihak polis atau DBKL.
Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan penting dalam kes Nik Nazmi, mesej sejelas mungkin telah dihantar – bahawa setiap rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman, hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 10 dan apa-apa percubaan untuk menjenayahkan perhimpunan awam dalam apa jua cara atau bentuk adalah tidak selari dengan perlembagaan.
Adalah amat tidak bertanggungjawab bagi pihak berkuasa untuk mengelirukan orang awam dan menggembar-gemburkan dakwaan bahawa perhimpunan itu adalah “haram” atau “untuk menggulingkan kerajaan” apabila aktiviti yang dirancang dan tuntutan Bersih adalah jelas, aman dan sudah tentu termaktub dalam norma-norma demokratik. Selanjutnya, perhimpunan Bersih yang lepas dan perhimpunan-perhimpunan lain secara umumnya, adalah aman sehinggalah pihak berkuasa bertindak keras ke atas para peserta perhimpunan, dengan penangkapan yang tidak sewajarnya, memukul dan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air yang bercampur bahan kimia.
Pihak berkuasa perlu diingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengendalikan mana-mana ejen provokasi, pensabotaj dan demonstrasi lawan yang mungkin berlaku sebelum dan semasa perhimpunan itu – serta tidak menggunakan mereka sebagai alasan mudah untuk memburuk-burukkan dan bertindak keras terhadap penganjur dan peserta yang hanya mahu berdemonstrasi secara aman.
Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyeru mereka untuk bekerjasama dengan pihak penganjur untuk menjayakan perhimpunan, termasuklah melalui penutupan jalan-jalan tertentu dan memudahkan aliran trafik. Sebarang kesulitan adalah ringan dan dijangka dalam apa-apa bantahan awam yang besar dalam mana-mana demokrasi, tidak pun berbeza daripada kesulitan yang disebabkan oleh acara awam yang diluluskan oleh kerajaan atau penutupan jalan untuk acara-acara sukan atau pembinaan.
Pihak berkuasa perlu berhenti memberi alasan berterusan dan berpura-pura bekerjasama kerana berdasarkan pengalaman yang lalu menunjukkan bahawa semua ‘rundingan’ diakhirnya telah menemui jalan buntu. Ini adalah kerana pada akhir hari, pihak berkuasa tidak mahu orang awam berhimpun di pusat bandar Kuala Lumpur, terutamanya di Dataran Merdeka untuk sesuatu yang menguatkan kuasa rakyat, apatah lagi untuk pilihanraya yang bebas dan adil.
Dikeluarkan oleh:
Eric Paulsen
Pengarah Eksekutif
Lawyers for Liberty
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat: 03-7960 5688
Mobil: 017-228 1973
E-mel: [email protected]