Kenyataan Media
Serbuan Terhadap Warga Asing Zalim dan Langgar Saranan WHO dan ILO
11 Mei 2020
Langkah kerajaan yang giat menyerbu warga asing dan pelarian di Malaysia sejak dua minggu lepas dan bersambung lagi pada hari ini adalah tindakan yang zalim dan tidak wajar selain melanggar saranan kedua-dua badan antarabangsa World Health Organisation dan International Labour Organisation.
WHO dalam kenyataan mereka baru-baru ini memuji tindakan yang diambil kerajaan Malaysia dalam menangani Pandemik Covid-19 tetapi menyatakan Malaysia tidak patut mengenepikan kepentingan menjaga keperluan warga asing ketika ini.
Tindakan kerajaan terhadap warga asing termasuk pekerja asing ketika Covid-19 ini telah mendapat perhatian komuniti antarabangsa, yang memburukkan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Komuniti pekerja asing dan pelarian ini adalah antara yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19.
Ini adalah kerana mereka kehilangan pekerjaan, memandangkan ramai yang bergaji hari, sekaligus memberi impak kepada ketidakstabilan ekonomi negara.
Kebajikan warga asing dan pelarian ini harus diambilkira oleh kerajaan dari aspek kemanusiaan, serta kesihatan awam.
LFL tegas dengan pendirian untuk kesemua warga asing dan pelarian ini dilepaskan jika ditangkap dan diberi bantuan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 tanpa ancaman ditahan.
Masalah migran tidak berdokumen perlu ditangani oleh pihak berkuas secara komprehensif dan mengambilkira kegagalan serta kepincangan polisi berkenaan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor ekonomi Malaysia.
Nurainie Haziqah Shafii
Lawyers for Liberty