Tarikh bersejarah 12.2.2011 bukan sahaja bermakna buat warga Mesir yang telah berjaya menjatuhkan pemerintahan diktator 30 tahun Hosni Mubarak, tetapi juga merupakan tarikh bersejarah buat Lawyers for Liberty.
Lawyers for Liberty adalah satu gerakan atau organisasi bukan kerajaan yang telah mula bertapak di aliran aktivis hak asasi di Malaysia lebih kurang setahun lalu. Penggerak serta pengasas Lawyers for Liberty terdiri daripada peguam-peguam yang mahukan perubahan di Malaysia dan juga antara lain mengendalikan kes-kes berkenaan dengan kepentingan awam.
Atas sokongan dan kegigihan pengasas-pengasas Lawyers for Liberty, pelancaran rasmi organisasi tersebut telah berlangsung dengan jayanya pada 12.2.2011 sekaligus merasmikan pejabat Lawyers for Liberty yang terletak di M37, 2nd Floor, No. 1B, Jalan 10/3, Petaling Jaya, 46000, Selangor.
Antara yang telah sudi hadir ke majlis bersejarah ini adalah ahli keluarga adik Aminulrasyid (yang merupakan mangsa tembakan polis di Shah Alam), ahli keluarga adik Azamudin (saksi di dalam kes Aminulrasyid yang terlepas dari cengkaman polis pada malam Aminulrasyid ditembak oleh pihak Polis), ahli keluarga Mohd Shamil (mangsa tembakan polis di Glenmarie), ahli keluarga Hafiz (mangsa tembakan polis di Glenmarie), Senator Dr. Syed Husin Ali, Ahli Parlimen dan Adun Tian Chua, Elizabeth Wong, Dr Nasir Hashim, Kartunis aktivis terkenal Zunar dan isterinya Lin, aktivis hak asasi Kak Nashita dan anak-anak serta ahli-ahli Majlis Peguam Lim Chee Wee, Tn Haji Sulaiman Abdullah, Ragunath Kesavan, Andrew Khoo, wakil Loyar Burok Amer Hamzah, Seira Sacha, serta peguam hak asasi lain seperti Puravalen, HR Dipendra dan Brendan Navin Siva. Turut serta adalah wakil-wakil NGO, komuniti pelarian dan aktivis Mahasiswa.
Majlis dimulai dengan ucapan daripada salah seorang pengasas Lawyers for Liberty, N. Surendran dan diikuti dengan sepatah dua kata daripada Fadiah Nadwa Fikri yang telah memberikan sejarah latar belakang Lawyers for Liberty dan Renuka T Balasubramaniam. Majlis seterusnya telah dirasmikan oleh Ragunath Kesavan dengan memotong kek Lawyers for Liberty dan diikuti dengan upacara simbolik oleh pengasas-pengasas Lawyers for Liberty meletupkan belon-belon yang tertera di atasnya unsur-unsur penindasan yang merupakan simbol-simbol ketidakadilan dan pencabulan hak-hak asasi di Malaysia.
Seterusnya, kugiran 23:59 tampil dan menyerikan majlis dengan beberapa buah lagu dan majlis diakhiri dengan deklamasi sajak oleh sasterawan Negara, Pyanhabib.
Lawyers for Liberty juga telah berjaya mengutip sebanyak RM 10,500.00 hasil sumbangan daripada beberapa individu termasuk dari Elizabeth Wong dan Roger Chan. Kami ucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan yang diberikan.
Juga ucapan terima kasih kepada mereka yang membantu menjayakan perasmian.
Dengan perasmian Lawyers for Liberty, kami akan lebih tekad memperjuangkan hak asasi di dalam mahupun di luar Malaysia
“Tears have been cried, blood has been spilled, lives have been taken away, but this struggle…it’s still worth fighting for”