Kenyataan Akhbar
Persoalan motif dan kebaikan membawa 1.5 juta pekerja asing Bangladesh
13 Ogos 2015
Lawyers for Liberty melihat dengan kebimbangan rancangan kerajaan untuk membawa 1.5 juta pekerja asing Bangladesh dalam masa tiga tahun akan datang. Secara terang terangan, pengurusan, polisi dan undang–undang pekerja asing memerlukan perhatian serius serta pembaharuan setelah berdekad bergelumang dengan penyalahgunaan dan pengendalian yang teruk.
Adalah lebih membimbangkan apabila telah didedahkan bahawa Real Time Networking Sdn Bhd, salah satu syarikat yang membida untuk menyediakan sistem pendaftaran dan pengurusan terhadap pekerja ini dimiliki oleh Abdul Hakim Hamidi iaitu adik kepada Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi. Ini jelas menunjukkan konflik kepentingan serta amalan nepotisme yang berlaku.
Keraguan yang harus dipersoalkan adalah jika Malaysia benar-benar memerlukan pekerja-pekerja ini, sama ada kajian telah dibuat untuk menjustifikasikan bilangan pekerja yang diperlukan untuk tiga tahun dan untuk kepelbagaian sektor yang terlibat atau mereka dibawa hanya untuk pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan daripada mereka.
Kita biasa mendengar aduan bahawa Malaysia sedang ‘dibanjiri’ oleh pendatang tanpa izin. Juga penganiayaan yang teruk serta keadaan kerja yang mereka terpaksa lalui, walaupun untuk mereka telah berdokumentasi. Seharusnya pihak berkuasa menangani aduan serius berkaitan penganiayaan, eksploitasi dan penipuan terhadap pekerja-pekerja asing, namun sebaliknya mereka mengambil jalan mudah dengan membawa masuk lebih ramai pekerja asing, dan dalam proses itu, membenarkan ejen perlantikan, broker, perantara, syarikat-syarikat yang berhubung dengan kedua negara Bangladesh dan Malaysia untuk mengaut keuntungan yang besar daripada pekerja asing yang terdesak dan miskin tersebut.
Oleh itu, kami menggesa Kementerian Dalam Negeri untuk berunding dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk Kementerian Sumber Manusia,Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia sebelum mengambil apa-apa langkah drastik terutamanya apabila sudah terdapat tenaga kerja yang siap dipakai – iaitu kira-kira 100,000 pelarian dan dua juta pekerja asing yang sudah bekerja di negara ini walaupun tanpa dokumentasi sepatutnya.
Seperti kebanyakan pelarian dan pekerja asing yang bekerja tanpa kebenaran yang sah, mereka amat terdedah kepada eksploitasi dan penganiayaan, sering dibayar dengan gaji yang lebih murah, ditipu dan diperas oleh majikan dan juga anggota penguatkuasa undang-undang yang tidak bertanggungjawab.
Langkah untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing sudah pasti wajar diragui tentang motif dan siapa sebenarnya yang akan memperolehi manfaat tersebut. Adalah penyelesaian yang lebih wajar dan praktikal sekiranya pelarian dan pekerja asing yang sudah ada dan bekerja di negara ini diambil secara sah sebagai pekerja asing, sekali gus melindungi mereka dalam proses tersebut.
Dikeluarkan oleh:
Eric Paulsen
Pengarah Eksekutif
Lawyers for Liberty
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat: 03-7960 5688
Mobil: 017-228 1973
E-mel: [email protected]
www.lawyersforliberty.org