Kenyataan Akhbar
Siasatan Terhadap Perdana Menteri dan Kedaulatan Undang Undang
18 Ogos 2015
Lawyers for Liberty melihat dengan kebimbangan temu ramah Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi Strategik BN di dalam The Star Online,“Swimming against the tide to get to the truth”, 16 August 2015, yang telah menimbulkan beberapa perkara kontroversial berkaitan skandal 1MDB.
Khususnya, apabila beliau berkata terdapat satu percubaan untuk “menjenayahkan” Perdana Menteri melalui draf kertas pertuduhan (yang mungkin atau mungkin tidak sahih atau mematuhi proses yang biasa) dan oleh sebab itu mereka terpaksa “mengambil beberapa langkah awal supaya ia tidak berlaku.” Dengan berbuat demikian, beliau menjustifikasikan penyingkiran Gani Patail sebagai Peguam Negara, pembubaran Badan Bertindak 1MDB dan juga penangkapan, penahanan dan pemindahan pegawai-pegawai SPRM yang pada masa itu terlibat dalam siasatan tersebut.
Ini adalah amat mengejutkan dan mengaibkan kerana beliau seolah-olah mengatakan bahawa PM tidak boleh atau tidak patut disiasat kerana siasatan tersebut adalah “menjenayahkan” PM atau pun “menjatuhkan kerajaan.”
Ini juga jelas keterlaluan, satu kenyataan luar biasa yang tidak boleh diambil serius. Tidak ada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang termasuklah PM dan apa-apa siasatan terhadap beliau tidak harus disalahtafsirkan kepada orang awam sebagai “menjenayahkan” PM atau “menjatuhkan kerajaan.”
Apabila mana-mana agensi penguatkuasaan memulakan penyiasatan, tujuannya adalah untuk sentiasa membina kes dengan mengumpul bukti dan dalam proses itu, suspek boleh “dijenayahkan” dan didakwa. Adalah lebih tidak masuk akal untuk agensi penguatkuasaan tidak “menjenayahkan” suspek dalam mana-mana siasatan (dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi) kerana itu akan mensia siakan siasatan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan dan mengaibkan adalah pengakuan beliau terhadap “langkah awal” yang diambil – telah jelas merupakan antara lainnya, secara prima facie kesalahan menghalang di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan / atau seksyen 48 Akta SPRM.
Daripada melindungi PM dengan apa jua cara, kerajaan perlu berlaku jujur dengan mengeluarkan dokumentasi sokongan dan menjelaskan dengan sebaiknya berkenaan RM2.6 billion yang telah didepositkan ke dalam akaun peribadi PM dan bukannya membenarkan PM dan menteri-menterinya untuk membuat kenyataan ganjil satu demi satu.
Salah satu penanda aras yang paling jelas akan sesebuah negara bertamadun dan progresif adalah kedaulatan undang-undang, iaitu sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang dan bukannya keputusan arbitrari individu di dalam kerajaan. Juga setiap warganegara adalah tertakluk kepada undang-undang, termasuk mereka dalam kerajaan.
Walau bagaimanapun, tingkah laku keterlaluan dan liar kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah meninggalkan tanda tanya yang besar terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia. Keputusan arbitrari telah dibuat tanpa mengambil kira undang-undang dan proses yang sewajarnya, dan oleh itu, negara kita sudah tentu jatuh ke lembah keruntuhan sebagai sebuah negara yang gagal tanpa kedaulatan undang-undang.
Dikeluarkan oleh:
Eric Paulsen
Pengarah Eksekutif
Lawyers for Liberty
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat: 03-7960 5688
Mobil: 017-228 1973
E-mel: [email protected]
www.lawyersforliberty.org