Kenyataan Akhbar

2 September 2015

Penyalahgunaan kuasa dalam penangkapan besar-besaran dan penahanan di Rumah Api

 

Lawyers for Liberty terkejut dan kesal dengan serbuan polis di pentas muzik independen Rumah Api semasa acara ‘Party Tonight, Revolution Tomorrow’ pada malam sebelum #Bersih4 di mana lebih daripada seratus orang termasuk pemilik pentas, ahli-ahli band dan penonton gig telah ditangkap dan ditahan secara beramai-ramai untuk siasatan, kononnya bagi kesalahan di bawah seksyen 124B dan 143 Kanun Keseksaan dan seksyen (4) (1) (b) Akta Hasutan.

 

Sukar difahami bagaimana pihak polis membuat kesimpulan tentang adanya unsur jenayah apabila sekumpulan belia menikmati muzik secara langsung, ditangkap dan ditahan beberapa hari kerana disyaki terlibat dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen, himpunan yang menyalahi undang-undang dan menghasut.

 

Adakah pihak polis boleh begitu literal pemahamannya dan tidak rasional sehingga menyerbu semata-mata kerana tema acara dan secara serius menjangkakan hadirin akan melancarkan ‘revolusi’ keesokan harinya?

 

Sebahagian kesalahan juga malangnya berpunca daripada majistret yang sewenangnya mengecop-luluskan permohonan polis untuk reman apabila jelas tiada merit dalam menahan dan menyiasat belia-belia tersebut bagi kesalahan-kesalahan yang disyaki.

 

Tangkapan dan penahanan mereka jelas tidak munasabah, berniat jahat dan adalah salah guna kuasa dan proses undang-undang yang secara terang-terangan menghukum penglibatan belia dalam acara berkaitan Bersih, walau sekelumit mana pun kaitannya.

 

Kami menyeru pihak polis untuk kembali kepada perkara-perkara asas – untuk menjadi pasukan polis yang profesional, adil dan cekap dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mencegah dan mengesan jenayah sebenar serta memberkas penjenayah sebenar dan bukannya terlibat dengan perkara-perkara yang remeh seperti belia menikmati muzik. Semua peralatan dan barangan yang dirampas juga harus dikembalikan kepada pemiliknya yang berhak.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Eric Paulsen

Pengarah Eksekutif

Lawyers for Liberty

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pejabat: 03-7960 5688

Mobil: 017-228 1973

E-mel: [email protected]

www.lawyersforliberty.org