Kenyataan Akhbar
3 September 2015
Hentikan pemburuan, perbuatan biadap bukanlah satu jenayah
Lawyers for Liberty memandang dengan kebimbangan ke atas cubaan demi cubaan untuk menjenayahkan beberapa orang peserta Bersih 4 yang telah ditangkap gambar sedang memijak foto Perdana Menteri dan Presiden Pas Hadi Awang.
Walaupun perbuatan itu mungkin dikatakan biadab, ia bukan sesuatu yang bersifat jenayah kerana undang-undang tidak mengambil kira perkara yang remeh temeh. Masyarakat kita yang bertamadun akan berakhir jika hanya kerana ketidak-sopanan, biadab atau kekasaran seperti dalam kes ini, seseorang mendapati dirinya terdedah kepada segala masalah dan kebimbangan penangkapan, penahanan atau perbicaraan jenayah.
Tiada sesuatu pun di dalam undang-undang yang mengangkat PM atau pemimpin parti politik kepada status istimewa yang kebal celaan dan mendapat mandat untuk menjadi “orang yang dilindungi”. Status mereka disisi undang-undang adalah sama dengan rakyat biasa dan mereka sepatutnya dilayan samarata seperti yang termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pemburuan terhadap peserta Bersih tersebut adalah penyalahgunaan serius Kanun Keseksaan kerana walaupun kuno, peruntukan-peruntukannya tidak pernah bertujuan untuk melindungi PM atau tokoh masyarakat dari kritikan awam atau penghinaan. Insiden terkini menambah kebimbangan kes-kes yang meningkat terhadap orang-orang yang dikatakan telah menghina pihak berkuasa atau pihak-pihak yang dilihat bersekutu dengan mereka.
Kami juga maklum bahawa bantahan biadab sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa dan terdapat banyak bantahan yang sama atau lebih teruk terhadap pihak pembangkang dan pimpinan masyarakat sivil termasuk tingkah laku mengancam, namun tidak pernah diambil tindakan terhadap pelaku terbabit.
Persoalan sudah tentu timbul berkaitan pendakwaan terpilih dan bersifat dwi standard dalam pendekatan pihak berkuasa terhadap kes-kes penghinaan yang berdasarkan kepada personaliti yang terlibat dan pakatan politik mereka.
PM sepatutnya mengakui bahawa beliau berhadapan dengan imej awam yang buruk, namun ini tidak mungkin dapat dibaiki dengan penyalahgunaan kuasa yang berterusan untuk sesuatu yang remeh seperti kelakuan memijak gambarnya yang bukanlah bersifat jenayah walaupun perkara itu sama sekali tidak menyenangkan.
Kami ingin mengingatkan PM bahawa autoriti dan penghormatan terhadap pentadbiran beliau tidak datang dari rasa takut tetapi keyakinan orang ramai dan ini bergantung sepenuhnya terhadap integriti dan pentadbiran baiknya seperti menangani rasuah dan penyelewengan kuasa.
Kami menyeru pihak polis untuk kembali kepada asas – untuk menjadi pasukan polis yang profesional, adil dan cekap dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman, mencegah dan mengesan jenayah sebenar dan memberkas penjenayah sebenar dan bukannya terlibat dengan perkara-perkara yang remeh seperti fitnah, penghinaan dan kelakuan jengkel terhadap PM atau pemimpin parti politik.
Dikeluarkan oleh:
Eric Paulsen
Pengarah Eksekutif
Lawyers for Liberty
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pejabat: 03-7960 5688
Mobil: 017-228 1973
E-mel: [email protected]