Kenyataan Akhbar

14 September 2015

Protes 16 September berkemungkinan tidak aman

 

Lawyers for Liberty melihat dengan kebimbangan terhadap protes “anti-Bersih” pada 16 September yang digelar “Himpunan Rakyat Bersatu” atau “Kebangkitan Maruah Melayu” yang tersebar dengan meluas dan dikongsi di media sosial. Ini juga termasuk poster-poster dengan slogan seperti “Tanah Tumpahnya Darah Ku” yang turut menggambarkan aksi silat atau penggunaan senjata.

 

Demonstrasi yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan hak-hak Melayu dan seolah-olah disokong oleh Umno adalah tindakan yang secara jelas berunsur membuli dan menakut-nakutkan dan bertujuan untuk membakar hubungan antara orang Melayu dan bukan Melayu. Kami menggesa semua pihak untuk bertindak dengan berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik kotor dan berbahaya seperti ini yang bertujuan memecahbelahkan orang Melayu dan bukan Melayu dengan menyemai rasa tidak percaya dan mencetuskan hasutan pemikiran diantara mereka.

 

Kami percaya dengan hak semua rakyat Malaysia untuk membantah secara aman termasuk hak penunjuk perasaan ini, hak untuk bersuara dan berhimpun secara bebas tanpa risiko terhadap undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan dan Akta Perhimpunan Aman. Namun demikian, kami menolak protes yang dirancang yang berkemungkinan akan membawa kepada kemudaratan – protes yang bermotifkan perkauman yang jelas bertujuan untuk mencetuskan provokasi, mengugut dan membuli orang bukan Melayu.

 

Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara ini di mana hak minoriti juga dilindungi bersama dan tidak tunduk kepada hak majoriti.

 

Oleh itu, kami menyeru pihak berkuasa untuk mengekalkan kewaspadaan dan mengambil segala langkah-langkah penguatkuasaan undang-undang perlu untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku seperti rusuhan bermotifkan perkauman di Plaza Low Yat pada bulan Julai – senario yang berkemungkinan akan berulang memandangkan hakikat bahawa tempat demonstrasi yang akan diadakan nanti turut termasuk Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

 

Dikeluarkan oleh:

Eric Paulsen

Pengarah Eksekutif

Lawyers for Liberty

 

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

Pejabat: 03-7960 5688

Mobil: 017-228 1973

E-mel: [email protected]