Kenyataan Media
Kerajaan mesti mengiktiraf kewarganegaraan Malaysia dengan serta merta bagi keluarga empat adik beradik muda tanpa kerakyatan (stateless)
Sidang Media 17 Oktober 2023
Aziq Fadyan, 24 tahun, Azreen Batrisya 22 tahun, Azzahra Batrisya 12 tahun dan Azalea Batrisya 9 tahun, telah dinafikan kewarganegaraan Malaysia secara tidak sah oleh Kerajaan, menyebabkan mereka kini menjadi individu-individu tanpa kerakyatan (stateless). Keempat-empat mereka dilahirkan di Malaysia. Bapa mereka adalah seorang warganegara Malaysia, Fadil bin Saharudin. Ibu mereka pula merupakan seorang warganegara Indonesia. Perkahwinan kedua ibu bapa mereka telah dilangsungkan di Indonesia serta Malaysia pada tahun 1998 sebelum kelahiran keempat-empat anak-anak muda tersebut.
Mereka berhak untuk mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 14(1)(b) dan Bahagian II Jadual Kedua Seksyen 1(a) dan 1(e) Perlembagaan Persekutuan. Dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, oleh seorang bapa yang mempunyai kewarganegaraan Malaysia, mereka bukan warganegara mana-mana negara lain kecuali Malaysia dan oleh itu mereka berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut Seksyen 1(a) dan 1(e) di Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan tersebut.
Akibat oleh penafian kerajaan Malaysia untuk mengiktiraf hak kewarganegaraan mereka, mereka telah dinafikan daripada mendapat pendidikan, pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya. Mereka tidak dapat melakukan perkara-perkara asas seperti membuka akaun bank, mendapatkan lesen memandu mahupun mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan gaji yang berpatutan.
Kerajaan ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala diskriminasi, penghinaan dan penderitaan anak-anak muda yang hidup tanpa kerakyatan ini. Walaupun ini bukan salah anak-anak muda ini, Kerajaan telah secara tidak munasabah dan dengan zalimnya telah menyebabkan mereka mengharungi kehidupan yang teruk yang dialami oleh orang-orang tanpa kerakyatan (stateless).
Kami menggesa Menteri Dalam Negeri dan Kabinet untuk campur tangan dalam perkara ini dengan segera, serta memastikan anak-anak muda ini ini diiktiraf sebagai warganegara Malaysia serta merta. Kami seterusnya menggesa agar Kerajaan dan Menteri Pendidikan memastikan adik-adik Azzahra dan Azalea, yang masing-masing berumur 12 dan 9 tahun dimasukkan dengan segera ke dalam sekolah kebangsaan yang sesuai.
Kes Aziq, Azreen, Azzahra dan Azalea hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang dialami oleh negara ini. Terdapat puluhan ribu kes yang serupa di Malaysia, kanak-kanak mengalami kehidupan yang sengsara dan musnah walaupun mereka sesungguhnya berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia mengikut kuatkuasa undang-undang. Kami menggesa kerajaan untuk segera meneliti semua kes-kes ini dan memberikan kewarganegaraan kepada sesiapa yang layak di bawah Perlembagaan yang mana telah dilucutkan kewarganegaraan secara tidak sah dan menyalahi undang-undang sehingga kini.
Dikeluarkan oleh:
Peguam bagi pihak keluarga & Lawyers for Liberty
- N. Surendran, Penasihat
- Nabila Khairuddin, Kempen Koordinator