Apakah tiada keadilan atau kedaulatan undang-undang di Malaysia? Bolehkah Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sebarang agensi penguatkuasaan kerajaan menyalahgunakan kuasa mereka dengan sesuka hati, pada bila-bila masa sahaja? Apakah mereka semudahnya boleh lepas daripada tindakan undang-undang, pengadilan, pendakwaan jenayah dan tindakan disiplin bagi kesemua penembakan, kematian dalam tahanan dan penyiksaan yang dilakukan tanpa menurut lunas perundangan serta tanpa kewajaran itu?

 

Kami di sini untuk mengingatkan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Ismail Omar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed berkenaan kes-kes serius keganasan polis dan SPRM beberapa tahun kebelakangan ini yang masih menunggu keadilan dan jawapan. Ahli keluarga para arwah dan mendiang, mereka yang terselamat, para peguam mereka, pendokong, masyarakat sivil dan Rakyat tidak akan terpedaya dengan tindakan separuh hati atau ketidakpedulian pihak berkuasa terhadap kes ini. Pihak berkuasa kelihatannya berharap apabila masa berlalu, ingatan dan kegemparan kes-kes ini akan semudahnya memudar dan lenyap.

 

Terdapat banyak lagi kes-kes mengharukan yang melibatkan para pelarian, migran dan orang asing yang mati dalam tahanan, disiksa, disebat dan mendapat layanan tidak berperikemanusiaan  atau menjatuhkan maruah diri. Mereka ini kemudiannya dihalau keluar negara tanpa kisah mereka dapat disampai atau didedahkan kepada kita. Akibatnya, agensi-agensi penguatkuasaan ini terus bertindak dengan kekebalan daripada hukuman undang-undang dalam layanan terhadap manusia.

 

Kemarahan/ Memori Kami

Kami ingin mengingatkan Menteri, KPN dan Ketua Pesuruhjaya nama-nama rakyat Malaysia dan penderitaan mereka di tangan serta senjata pihak polis dan SPRM:

 

  • Ogos 2012: Dinesh Darmesena, 26 – ditembak mati

Dinesh tanpa bersenjata ditembak mati tanpa belas kasihan di Ampang apabila beberapa buah kereta tidak bertanda secara tiba-tiba menghalang kereta yang dinaikinya. Beberapa orang berpakaian biasa muncul dan mula menembak bertalu-talu ke arah kereta tersebut. Apabila Dinesh cuba melarikan diri, dia ditembak mati. Meskipun dia tidak ada sebarang rekod jenayah, pihak polis dengan cepat menuduh mendiang sebagai gangster yang cuba menyerang pihak polis, menyebabkan mereka perlu menggunakan senjata api bagi membela diri.

 

  • April 2011: Ahmad Sarbani, 56 – ditemui mati di kawasan pejabat SPRM

Pegawai kanan Kastam ini ditemui mati di kawasan pejabat SPRM di Kuala Lumpur setelah “jatuh/ dihumban” daripada tingkat 3 sehingga meninggal dunia. Sarbani telah pergi ke pejabat SPRM bagi membantu penyiasatan skandal rasuah besar yang melibatkan Jabatan Kastam. Terdapat banyak keadaan mencurigakan sekitar kematiannya tetapi yang paling teruk adalah pemadaman rakaman video CCTV semasa kunjungannya ke pejabat tersebut. Pada September 2011, Inkues Majistret memutuskan punca kematian Sarbani sebagai “kemalangan”.

 

  • November 2010: Mohd Shamil Hafiz Shafie, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, and Mohd Hanafi Omar, 22 – kesemua ditembak mati

Ketiga-tiga anak muda ini (termasuk seorang di bawah umur) ditembak mati oleh pihak polis di Glenmarie, Selangor. Walaupun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, Pemangku Ketua Polis Selangor A.Thaiveegan membuat dakwaan tidak masuk akal bahawa mereka “penjenayah berpengalaman” yang dikenali sebagai “Geng Minyak” yang mensasarkan rompakan stesen-stesen minyak. Pihak polis menuduh bahawa suspek telah meluru ke arah pihak polis dengan parang dan polis menembak mereka untuk mempertahankan diri. Cerita versi pihak polis ini tidak sama dengan hasil carian dalam laporan bedah siasat yang merumuskan mereka di tembak mati tanpa belas kasihan sewaktu sedang melutut atau dalam keadaan duduk.

 

  • April 2010: Aminulrasyid Amzah, 15 – ditembak mati

Dia ditembak mati oleh pihak polis di dalam kejar-mengejar kereta – hanya kerana kereta yang dipandunya melepasi lampu merah akibat kemalangan kereta yang kecil di Shah Alam. Hanya seorang anggota polis didakwa melakukan pematian orang tetapi tiada dakwaan atau tindakan disiplin serius yang diambil terhadap seorang lagi anggota yang terlibat dalam penembakan maut tersebut. Seterusnya usaha untuk menutup kes dengan membuat tuduhan-tuduhan palsu dan mereka-reka bukti terhadap si arwah dan rakannya Azammudin, berusia 15 tahun, termasuklah dari Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar. Tiada langsung permohonan maaf dari pihak polis atau pihak berkuasa kerajaan. Tetapi sebaliknya, mereka menyalahkan ibu bapa kerana tidak mengawasi anak-anak mereka.

 

  • Oktober 2009: Mohd Afham Arin, 18 – ditembak mati

Dia ditembak mati saat sedang menunggang motosikal lewat malam dengan seorang lagi teman di Johor Bahru, apabila empat orang berpakaian biasa dan bermotosikal cuba menahan mereka serta mendakwa diri sebagai anggota polis. Memikirkan mereka adalah perompak, dua sekawan ini lari dan mereka yang kemudiannya diketahui sebagai anggota polis itu menembak dan membunuh Afham. Seperti biasa, pihak polis mendakwa si arwah dan temannya adalah penjenayah dan memiliki senjata yang mengancam anggota polis tersebut. Tidak ada pendakwaan terhadap sebarang anggota polis atas tuduhan menyebabkan kematian, cedera parah atau mereka-reka bukti.

 

  • Oktober 2009: Norizan Salleh, 30 – ditembak beberapa kali tetapi terselamat

Ibu tunggal ini ditembak beberapa kali oleh pihak polis ketika sedang menaiki sebuah kereta dengan beberapa orang lain. Kereta tersebut dikejar oleh sebuah kereta peronda polis di Kuala Lumpur. Dia juga ditendang dan dipijak bahagian belakangnya ketika keluar dari kereta, meskipun jelas dia sedang cedera parah dan dalam kesakitan. Tidak ada pendakwaan dilakukan terhadap seorangpun anggota polis yang terlibat. Hal ini meskipun Menteri Dalam Negeri sendiri yang berjanji kepada Norizan bahawa tindakan akan diambil. Dia kini menanggung hutang bil hospital sebanyak RM 20,000 selepas dua pembedahan.

 

  • Julai 2009: Teoh Beng Hock, 30 – ditemui mati di kawasan pejabat SPRM

Pembantu politik kepada anggota Majlis Exco Negeri Selangor ditemui mati di kawasan pejabat SPRM di Shah Alam selepas “jatuh/ dihumban” sehingga meninggal dunia daripada tingkat 14 bangunan tersebut. Dia ditangkap dan disoal atas tuduhan rasuah berjumlah hanya RM2,400, yang disangkal mendiang. Meskipun Suruhanjaya DiRaja Siasatan menyimpulkan dia telah membunuh diri akibat soal siasat ganas oleh tiga pegawai SPRM, namun ramai yang menyanggah kesimpulan tersebut dan tetap yakin dia dibunuh. Tidak ada seorangpun yang didakwa atau diambil tindakan disiplin terhadap kematian Beng Hock.

 

  • Julai 2009: Gunasegaran, 31 – mati dalam tahanan polis

Dia mati pada hari yang sama dia ditangkap di balai polis Sentul. Menurut pihak polis, dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan meninggal dunia. Inkues Majistret memutuskan kematiannya sebagai “keputusan terbuka” kerana bedah siasat menyatakan kematiannya akibat penyalahgunaan dadah meskipun saksi-saksi melihat seorang anggota polis menendang dan memukul Gunasegaran sehingga dia tidak sedarkan diri. Selanjutnya, bedah siasat kedua menemukan luka sepanjang 28cm, selebar 8cm dengan kedalaman 5cm di dadanya. Pada hari keputusan tersebut, seorang saksi mata K. Selvach yang memberi keterangan dalam inkues itu ditangkap dan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan kesemua usaha permohonan harbeas corpus untuk membebaskan dirinya telah gagal.

 

  • Januari 2009: A. Kugan, 22 – disiksa sehingga mati semasa dalam tahanan polis

Suatu kematian dalam tahanan polis yang amat mengejutkan dalam ingatan. Ia bukan setakat seorang anak muda yang sihat mati dengan tanda-tanda jelas kesan siksaan selepas berada dalam tahanan polis USJ Subang Jaya untuk 5 hari. Tetapi juga, ia merupakan cubaan pihak polis dan pihak berkuasa hospital untuk menutup punca kematiannya dengan menyatakan dia mati akibat “cecair di dalam paru-parunya.” Setelah desakan hebat orang ramai, hanya seorang anggota polis bawahan berpangkat konstabel didakwa kerana menyebabkan kecederaan parah. Ahli patologi, yang menjalankan bedah siasat pertama Dr Abdul Karim Tajuddin kemudiannya menerima teguran oleh Majlis Perubatan Malaysia kerana gagal untuk menjalankan pemeriksaan serta membuat laporan perubatan yang betul dan jujur.

 

Sorotan kes-kes di atas hanyalah merupakan sebahagian kecil daripada banyak kes-kes sedemikian, sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini. Menurut Menteri Dalam Negeri dalam jawapan terhadap soalan di Parlimen pada Oktober 2012, seramai 209 orang tahanan telah mati dalam jagaan pihak polis sejak tahun 2000, manakala 298 orang yang didakwa penjenayah telah ditembak mati sejak tahun 2007.

 

Bantahan Kami

 

1          Kegagalan bertindak, kurangnya siasatan bebas dan berkesan

Walaupun setelah perangkaan mengejutkan berkenaan tembakan maut polis menunjukkan peningkatan sebanyak 17 kali ganda sejak 2001, sepertimana yang didedahkan pada November 2010, namun pihak agensi-agensi penguatkuasaan terutamanya pasukan polis terus bertindak tanpa lunas undang-undang secara terang-terangan. Hal ini mencerminkan kegagalan untuk memulakan siasatan bebas dan berkesan sebagai maklum balas terhadap berbagai laporan polis yang dibuat terhadap mereka untuk penembakan maut dan kematian dalam tahanan.

 

Kegagalan pihak polis dan SPRM untuk menyiasat secara bebas dan berkesan terhadap kes-kes penembakan dan kematian dalam tahanan memperlihatkan dengan jelas budaya kebal hukuman serta tidak patuh lunas perundangan, yang sudah sebati dalam amalan pihak penguatkuasa undang-undang. Sesiapapun di kalangan kita boleh menjadi mangsa berikutnya.

 

Tidak ada anggota polis yang didakwa dan didapati bersalah terhadap sebarang pembunuhan, kecuali kes Aminurasyid yang berusia 15 tahun dan A. Kugan. Ianyapun terjadi kerana bantahan meluas dan desakan orang ramai.

2          Berulangnya alasan, arah aliran yang membimbangkan dan tuduhan palsu

Kami dapati kesamaan yang membimbangkan dalam alasan yang diberi pihak polis terhadap kebanyakan kes-kes penembakan polis. Dalam hampir kesemua kes, pihak polis mendakwa orang yang disyaki sebagai penjenayah dikehendaki yang cuba menyerang pihak polis. Pihak polis kemudiannya melepaskan tembakan, membunuh mereka kesemuanya dengan serta-merta. Selepas penembakan, polis mendakwa menemukan senjata dalam kenderaan mereka dan menuduh si mati terlibat dalam berbagai jenis jenayah. Bagaimanapun, dalam beberapa kes, ada orang yang terselamat dan para saksi telah tampil ke hadapan untuk menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, yang jauh berbeza daripada keterangan yang diberikan pihak polis.

 

Alasan yang diberikan untuk kematian dalam tahanan juga begitu mencurigakan dan tidak munasabah: penyakit seperti ulser, demam kuning (jaundis), jangkitan usus, paru-paru dan tekak, “bunuh diri”, pendarahan otak dan terdapat banyak lagi kes tanpa penjelasan dan ditutup “tanpa tindakan lanjutan”. Sejak bila pula orang mati akibat ulser, jaundis serta jangkitan usus, paru-paru dan tekak? Apakah orang tanpa sebab munasabah tiba-tiba mendapat pendarahan otak dan mati? Di mana perhatian serta jagaan kesihatan yang betul dan berpatutan terhadap para tahanan?

 

3          Kurangnya profesionalisme, sepenuhnya tidak peduli pada undang-undang dan garis panduan

Walaupun kami faham pihak polis, SPRM dan agensi-agensi penguatkuasaan memiliki tugas penting serta membebankan untuk mencegah dan memerangi jenayah, mereka perlu faham bahawa kuasa luas mereka untuk menangkap, menahan, menyiasat suspek dan menggunakan senjata api tidak boleh disalah guna, digunakan sewenang-wenangnya, berlebihan dan/ atau sesuka hati mereka. Setiap warga dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya di dalam mahkamah undang-undang. Sebaliknya tindakan untuk menyebabkan kematian ini,  akan tergolong dalam pembunuhan di luar hukuman kehakiman. Selaku agensi-agensi penguatkuasaan profesional yang mengamalkan kuasa yang cukup luas ini, mereka perlu bertindak tegas mematuhi lunas perundangan dan proses perundangan negara ini serta tidak bertindak sewenang-wenangnya. Ianya termasuklah prosedur dan garis panduan perundangan bagi menggunakan senjata api, tangkapan, penahanan dan penyiasatan yang boleh didapatkan daripada piawaian kepolisian antarabangsa.

 

Kekerapan penembakan maut dan kematian dalam tahanan yang membimbangkan ini merupakan gejala polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain yang tidak berupaya untuk bertindak secara profesional serta dalam bidang sistem keadilan jenayah moden. Ianya tanpa keperluan untuk secara sewenangnya menggunakan senjata api, siksaan dan kaedah-kaedah kejam serta menjatuhkan maruah, yang tidak memerlukan kerja penyiasatan sebenar dan ketekunan. Sebaliknya, mereka perlu berusaha keras untuk menjadi pasukan moden dan profesional yang mengikuti piawaian antarabangsa dan amalan terbaik serta tidak undur ke belakang dengan amalan-amalan salah yang menyebabkan orang ramai hilang keyakinan dengan agensi-agensi tersebut.

 

4          Budaya kebal atau terlepas hukuman undang-undang

Maklum balas yang ganas dan tidak menurut lunas perundangan mencerminkan budaya kebal hukuman undang-undang. Ia juga mencerminkan kesombongan dan tidak menghormati norma-norma kepolisian antarabangsa, kedaulatan undang-undang dan prosedur perundangan. Malah budaya kebal hukuman ini turut disokong dan dilindungi oleh Kerajaan, Ahli-ahli Parlimen Umno-BN dan para pemimpin kanan parti-parti tersebut. Hal ini bukanlah kejadian terpencil tetapi merupakan kesinambungan daripada senarai panjang tindakan-tindakan pihak polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain yang menunjukkan penghinaan mereka terhadap hak-hak Rakyat yang mengakibatkan penyalahgunaan kuasa berleluasa serta membawa kepada kematian dan keganasan.

 

Pihak polis, SPRM dan agensi penguakuasaan lain tidak boleh dibenarkan untuk terus beroperasi di dalam persekitaran kebal hukuman undang-undang. Tetapi seperti yang ditunjukkan secara jelas dalam kes-kes tragis ini, mereka terus bertindak sesuka hati tanpa peduli kedaulatan undang-undang, profesionalisme, undang-undang dan prosedur yang menjadi tata cara perlakuan mereka.

Tuntutan Kami

Dengan negara menghadapi pilihanraya umum paling penting dalam sejarah tanah air, kami mendesak Menteri Dalam Negeri, KPN dan Ketua Pesuruhjaya untuk mengambil peluang ini bagi membersihkan pasukan polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain yang memiliki sejarah panjang terpalit dengan reputasi keganasan, sikap suka menembak sesuka hati, kebal hukuman undang-undang serta bertindak sebagai pelindung golongan kaya dan berkuasa dan menjadi penindas terhadap orang-orang yang lemah dan miskin.  Menteri, KPN dan Ketua Pesuruhjaya bertanggungjawab untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap wibawa, kepercayaan dan profesionalisme dalam pasukan polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain sehinggakan para pegawai yang menutup mata juga tahu bahawa ia berada di paras paling rendah.

 

Tidak ada jalan pintas dalam usaha mereformasi dan menebus kembali wibawa pasukan polis dan SPRM. Keputusan-keputusan sukar terpaksa diambil. Mereka yang berkuasa dan memegang jawatan tinggi pasti akan cuba melawan. Walaupun berhadapan dengan janji yang tidak ditepati dan cubaan sambil lewa untuk reformasi, kami Rakyat, masyarakat sivil, para mangsa, ahli keluarga dan mereka yang terselamat daripada keganasan serta komuniti yang terjejas menuntut perkara yang berikut:

 

  1. Tanpa takut atau pilih kasih, bawa kesemua para pesalah di kalangan pihak polis, SPRM dan agensi penguatkuasaan lain, ke hadapan pengadilan termasuklah untuk pendakwaan jenayah berat dan tindakan disiplin yang sepadan dengan kesalahan;
  2. Secepatnya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) agar dapat berfungsi sebagai lembaga pengawasan luaran serta bebas untuk menyiasat aduan tentang anggota polis dan menjadikan pasukan polis bertanggungjawab terhadap perlakuan mereka;
  3. Menubuhkan sistem Hisbah (Ombudsmen) yang menguatkuasakan amalan hak asasi manusia di dalam semua agensi penguatkuasaan dan tempat-tempat tahanan mereka seperti penjara, pusat tahanan imigresen dan lokap;
  4. Kaji semula dan umumkan ke pengetahuan orang ramai piawaian prosedur operasi (SOP) termasuklah Perintah Tetap Ketua Polis Negara berkenaan garis panduan polis untuk menggunakan senjata api dan penahanan serta penyiasatan;
  5. Sokong penubuhan sistem Mahkamah Koroner yang cekap dan bebas bagi menggantikan Inkues Majistret sekarang ini yang sangat bermasalah dan tidak berkesan;
  6. Sokong enakmen undang-undang anti penyiksaan yang menjenayahkan siksaan, layanan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah yang menyediakan hukuman berat dan memperuntukan mekanisme pertanggungjawaban selari dengan tanggungjawab Malaysia di bawah perundangan lazim antarabangsa;
  7. Sokong pendidikan dan program latihan hak asasi manusia, dengan pandangan untuk mengubah sikap, tanggapan dan kaedah para anggota penguatkuasaan perundangan.