MEMORANDUM KEPADA AHLI-AHLI DEWAN NEGARA
BERKENAAN DENGAN
RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KESELAMATAN NEGARA 2015

15 DISEMBER 2015

Masyarakat sivil memandang berat Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 (Rang Undang-Undang MKN) yang diluluskan secara tergesa-gesa di Dewan Rakyat pada 3 Disember 2015.

Rang Undang-Undang ini memberi kesan yang buruk kepada rakyat Malaysia dan merupakan ancaman yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap demokrasi berparlimen di Malaysia.

Mengapa perlu ada undang-undang yang seluas ini, terutamanya apabila ianya dilakukan secara tergesa-gesa, tanpa sebarang justifikasi, hebahan mahupun perundingan?

Pembentangan Rang Undang-Undang ini merupakan suatu langkah yang amat berbahaya bagi Malaysia kerana ia menumpukan kuasa luar biasa ke tangan hanya seorang ahli cabang Eksekutif Kerajaan. Mekanisme semak dan imbang yang biasanya didapati dalam mana-mana demokrasi berparlimen adalah sama ada tidak wujud ataupun terjejas teruk di Malaysia.

Tidak ada mana-mana orang ataupun entiti yang harus memegang kuasa secara mutlak dan tanpa batasan. Penumpuan kuasa membawa kepada kecenderungan salah guna kuasa, terutamanya ketika negara sedang dilanda krisis politik. Rang Undang-Undang MKN merupakan lonjakan besar ke arah pemerintahan diktator dan negara tentera-polis.

Dewan Negara perlu mengkaji secara mendalam dan mempertimbangkan secara teliti kesan-kesan buruk yang dibawa oleh Rang Undang-Undang ini.

Berikut merupakan isu-isu yang jelas memerlukan perhatian segera:-

a) Berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, persoalan keperlembagaan Rang Undang-undang ini amat dipertikaikan. Perkara 150 khususnya memperuntukan bagi DYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Pengisytiharan Darurat di mana terdapat “darurat besar” di dalam Persekutuan. Peruntukan-peruntukan Rang Undang-Undang ini akan mewujudkan mekanisme yang berasingan di mana Perdana Menteri secara berkesan boleh mengisytiharkan “kawasan keselamatan”. Oleh yang demikian, Rang Undang-Undang ini secara berkesannya mengambil alih kuasa DYMM Yang Di-Pertuan Agong, yang kini akan dapat dilaksanakan oleh Perdana Menteri walaupun terma “darurat” tidak digunakan di dalam Rang Undang-Undang ini; [Klausa 18]

b) Berhubung dengan tentera, rantaian perintah (chain of command) bahawa DYMM Yang Di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan sebagaimana yang diperuntukan di bawah Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan telah diabaikan. Tambahan itu, Perkara 137 yang mengandungi peruntukan berkenaan Majlis Angkatan Tentera, Perkara 150 berkenaan proklamasi darurat, dan Akta Angkatan Tentera 1972 telah diabaikan;

c) Perdana Menteri diberikan kuasa tanpa had untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai “kawasan keselamatan” walaupun ianya tidak merupakan ancaman sebenar yang mewajarkan penglibatan tentera;

d) Tidak ada proses semak dan imbang memandangkan peranan anggota-anggota lain di dalam MKN hanyalah sebagai penasihat. Parlimen tidak ada kuasa penyeliaan kerana di bawah Klausa 18(6), perisytiharan dan sebarang pembaharuannya hanya dibentangkan di Parlimen (bukan dibahas) dan tidak ada tempoh masa ditetapkan untuk hal ini. Tambahan itu, had enam bulan ke atas perisytiharan itu cuma satu khayalan semata-mata kerana Perdana Menteri boleh, tanpa apa-apa perundingan, melanjutkan tempoh pengisytiharan seberapa kali yang dikehendaki; [Klausa 18]

e) Malaysia mempunyai undang-undang sedia ada untuk menangani isu-isu keselamatan negara. Selain itu, kerajaan telahpun membawa masuk undang-undang kontroversi seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (dengan pindaan besar dalam tahun 2014) dan pindaan-pindaan pada tahun 2012 terhadap Kanun Keseksaan yang mana telah ditambah beberapa kesalahan terhadap negara yang mana takrifannya tidak jelas, termasuk “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”;

f) Seluruh undang-undang ini bersifat terlalu umum dan tidak jelas dalam kebanyakan takrifan utamanya, dan bidangkuasa yang amat luas diberikan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menentukan apa yang menjadi suatu isu keselamatan. Antara kebimbangan utama adalah Klausa 18(1) Rang Undang-Undang MKN dan ukuran rendah dan arbitrari (low and arbitrary threshold) bagi Perdana Menteri untuk mengisytiharkan sesuatu “kawasan keselamatan”. Antara terma-terma yang digunakan termasuklah “diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang”, “berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius”, “kepada wilayah, ekonomi, infrastruktur utama negara Malaysia atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain” dan “kepentingan keselamatan negara”; [Klausa 4 dan 18]

g) Pengisytiharan “kawasan keselamatan” membenarkan pihak berkuasa untuk menggunakan keganasan dan kekerasan maut dengan sewenang-wenangnya, menangkap tanpa waran, menggeledah dan menyita, dan mengenakan perintah berkurung. Ianya juga memberi kuasa kepada mereka untuk mengambil milik tanah, bangunan dan harta boleh alih, serta memusnahkan mana-mana bangunan atau struktur yang tidak berpenghuni di dalam mana-mana kawasan keselamatan; [Klausa 25, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 33, 34 dan 42]

h) Kuasa-kuasa di dalam Rang Undang-Undang MKN juga akan digunakan dengan sewenang-wenangnya bebas dari hukuman kerana ianya membenarkan pengenepian inkues mana-mana anggota pasukan keselamatan dan orang yang terbunuh di dalam kawasan keselamatan selagi majistret berpuas hati bahawa orang itu terbunuh di dalam kawasan keselamatan akibat operasi yang dijalankan oleh pasukan keselamatan; [Klausa 35]

i) Rang Undang-Undang ini membolehkan MKN memaksa Entiti-entiti Kerajaan untuk melapor kepadanya, dan untuk memberi maklumat kepadanya. Hal ini membolehkan MKN untuk mengatasi kuasa Kerajaan Negeri; [Klausa 17]

j) Rang Undang-Undang ini membolehkan MKN bertindak sebagai entiti pengumpulan maklumat risikan yang besar kerana ia boleh memaksa tentera, polis dan agensi lain untuk melaporkan maklumat risikan yang dikumpul secara bebas; [Klausa 17]

k) Perlindungan kepada ahli-ahli MKN, jawatankuasa, kakitangan dan pasukan keselamatannya daripada apa-apa jenis tindakan prosiding sivil dan jenayah (melainkan sekiranya dilakukan dengan niat jahat) ditambah dengan obligasi kerahsiaan di bawah Rang Undang-Undang ini, menjadikan mereka langsung tidak perlu bertanggungjawab ke atas tindakan-tindakan mereka. [Klausa 37, 38, 39, 40 dan 41]

Sesungguhnya undang-undang ini kononnya tidak akan disalahgunakan tidak memberi apa-apa jaminan langsung. Ini kerana pihak berkuasa telahpun menggunakan kuasa menahan pra-bicara yang zalim di bawah SOSMA walaupun terdapat jaminan yang sama. Sebagai contoh, Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang telah ditahan dan dituduh bagi kesalahan ‘cubaan sabotaj’ dan dibicarakan di bawah SOSMA.

Rang Undang-Undang MKN ini jelas tidak berperlembagaan dan merupakan penyalahgunaan kuasa yang teruk. Malaysia tidak memerlukan Rang Undang-Undang seperti ini, yang tidak lain adalah cubaan Perdana Menteri untuk merampas lebih banyak kuasa dan memusatkan kuasa ke atas dirinya. Ini bertentangan dengan semua prinsip-prinsip demokrasi dan meruntuhkan kedaulatan undang-undang. Ianya akan mengubah Malaysia selama-lamanya.

Kami, organisasi-organisasi masyarakat sivil dengan ini mendesak semua ahli-ahli Dewan Negara untuk memenuhi tanggungjawab mereka terhadap rakyat, DYMM Yang Di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Persekutuan dan membantah Rang Undang-Undang MKN.
Ditandatangani

Gagasan Kempen #TakNakDiktator

1. Amnesty International Malaysia
2. BERSIH
3. Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4)
4. National Human Rights Society (HAKAM)
5. Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
6. Institut Rakyat
7. Lawyers for Liberty
8. Persatuan Promosi Hak Asasi Malaysia (PROHAM)
9. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)